Archive for November 2008

Kadang-kadang aku tertanya-tanya

Arnab rumahnya di dalam lubang secara semulajadinya - dapat dibuktikan melalui kartun Bugs Bunny di mana arnab itu tinggal di dalam lubang (yang agak jeliknya lubangnya memang berbentuk bulat yang sempurna!). Atau kalau tak salah saya dalam komik Doraemon pun pernah mengetengahkan cerita berkaitan arnab - dan rumahnya dalam lubang juga.

Persoalan saya

Kalau hujan, bukankah lubang tempat tinggalnya itu akan digenangi air hujan? 

Jadi bagaimana mereka hidup?

??

Saya tidak pula membuat search di laman web Google. Sesiapa yang ada idea?

Saya cuma berbayangkan:

Bapa arnab, ibu arnab dan anak-anaknya sedang tidur

arnab1.jpg
Keadaan sunyi dan hanya ditemani bunyi cacing tanah yang bersiar-siar mencari lobak pada waktu malam (adakah cacing tanah berbunyi dan mengapa mencari lobak?)

Tiba-tiba hujan

Wah habis rumah kita :(( <—- (emoticon cyring dalam YM)

Ataupun rumahnya memang akan dibanjiri air dan ketika itu pesta air berlaku?

Bapa arnab: Rumah kita telah hujan. Jadi marilah mengeluarkan kayak yang kita beli di Mid Valley suatu ketika dahulu

Agak pelik kerana bapa arnab bercakap dengan nada begitu dan adakah terdapat kayak dijual di Mid Valley?

Bolehkan arnab membelinya sedangkan ribuan manusia membanjiri kompleks beli-belah itu setiap minggu?

arnab2.jpg
Mampukah arnab membeli kayak? (ah ini gambar folio Math aku yang siap. Seronok rasanya :P)

(kalian tahu aku tertekan kerana esok peperiksaan subjek Economics SL. Maka kadar kemerapuanku yang tidak batas dapat dilihat)

FORMASI BARU JADI TARUHAN
Jangan ulang kesilapan lalu - Shah

Sedar akan kesilapan formasi pada peperiksaan yang lalu, Shahkang kali ini tampil dengan formasi berbeza bersama  kombinasi pemain-pemain baru yang bakal menggalas cabaran untuk menghadapi Kejohanan Sem 3 yang akan bermula Khamis ini.

“Sudah dua semester kami menggunakan formasi 4-4-2 dan pada kali ini kami akan tampil dengan formasi 4-5-1 yang dikenal pasti  mampu menyerap asakan hebat yang dijangka berlaku ketika bertemu subjek-subjek dalam kejohanan kali ini,” katanya ketika di padang latihannya di pinggir KMB semalam

Pasukan Shah yang rata-ranya dibarisi pemain baru bernekad untuk memburu kejayaan untuk menapak masuk ke Liga Juara-Juara KMB (honor roll) yang memerlukan pasukan sekurang-kurangnya memperolehi mata minimum sebanyak 36.

“Kita perlu menang untuk setiap subjek untuk mendapat mata 6 atau 7 bagi merealisasikan impian tersebut,”

Shah kemudiannya enggan mengulas lanjut  mengenai peluang pasukannya memasuki Liga Juara-Juara untuk kali ini.

“Kombinasi pemain baru dan lama mungkin mengambil masa untuk keserasian yang optimum. Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kepada mereka. Cuma saya mampu memberi amaran kepada subjek-subjek agar tidak memandang rendah kemampuan kami kali ini,” katanya

Antara pemain baru pasukannya adalah Chem IB Guide yang dipinjam buat sementara waktu dari kelab ternama KMB, iaitu LRC.

Shah akan bertemu pasukan Math pada perlawanan pertama Khamis ini untuk bahagian yang pertama sebelum bertemu semula Jumaat depan bagi bahagian yang kedua.

“Kami sudah merangka stratergi mengekang asakan musuh utama iaitu Stat dan barisan pertahanan dijangka akan mampu memainkan peranan dengan baik untuk menjaga pintu gol,” ulasnya lagi menerusi temuramah telefon semalam.

Mengimbau perlawanan semester dua yang lalu, pasukan Stat telah berjaya menjadi pemusnah harapan Shah untuk menang besar setelah lorongan cantik Binomial Distribution berjaya disambut kemas Poison sebelum mudah merembat leret menewaskan penjaga gol Shah pada minit-minit kecederaan perlawanan.

“Saya yakin kami tidak akan silap lagi kali ini,” katanya bersemangat - KMB

Aku tertekan?

Pernahkah anda tersepit antara menjalankan tanggungjawab dan cinta ataupun perasaan anda?

Mungkin skop ini agak luas dan sememangnya tanggungjawab itu boleh dicerakinkan kepada beberapa subset yang lain. Apa yang maksudkan adalah, situasi di mana anda perlu membuat keputusan - sama ada cenderung ke arah perasaan/cinta anda atau tanggungjawab

Saya pernah. 

Saya terfikir untuk menggarap topik ini setelah membaca novel Ketika Cinta Bertasbih Episod 1 yang telah saya habiskan muka surat terakhirnya kira-kira sebulan lalu.

Situasi yang berlaku dalam novel ini adalah begini (nama watak terpaksa saya ubah kerana mungkin ada yang sedang membaca jadi agak spoil jika saya menceritakan di sini)

Elina telah dilamar oleh Fathul dan pada masa yang sama dia mencintai Kamil (secara diam-diam) . Kemudian dia bertanyakan kepada Kamil mengenai apakah yang patut dilakukan setelah dilamar Fathul. Kamil berasa serba salah kerana dia juga mencintai Elina (diam-diam juga).

Maka konflik dalaman melanda Kamil kerana tidak tahu hendak dikatakan kepada Elina. Fathul memang seorang yang alim dan mampu menjadi murabbi dalam memimpin Elina jika mereka berkahwin.

Sebagai seorang yang beriman kepada Allah, Kamil tidak sanggup mengatakan kepada Elina untuk menolak lamaran Fathul kerana Fathul memang mempunyai ciri-ciri soleh yang diidamkan wanita solehah seperti Elina. Maka Kamil pun menyuruh Elina menerima lamaran itu walaupun hatinya pedih tak terkira.

Tamat - sambungannya baca sendiri novel itu

Jadi di sini, Kamil lebih memilih tanggungjawabnya sebagai seorang lelaki dan sahabat kepada Elina untuk memberi jawapan yang terbaik kepada Elina supaya menerima lamaran Fathul, daripada melayani perasaan cintanya kepada Elina. Kalaulah Kamil tu seorang yang tak warak, mungkin dia akan menyuruh Elina menolak lamaran Fathul malah mungkin menceritakan keburukan Fathul agar Elina tidak menerima lamaran itu!

Subhanallah.. Betapa besarnya pengorbanan perasaan yang telah dilakukan Kamil. 

Apa yang ingin saya ceritakan adalah pengalaman yang serupa saya alami sebagai seorang sahabat yang sering melapangkan telinga untuk mendengar keluh-kesah cinta rakan-rakan. Saya sememangnya sering menjadi tempat luahan beberapa rakan yang mengalami masalah cinta, bahkan ada yang memanggil Dr Love. Lawak betul.

Kes Pertama:

Suatu ketika dahulu, ketika zaman bodohku sebagai kanak-kanak riang:

Sedang saya berehat dalam dorm saya (nama sekolah dirahsiakan agar tiada siapa tahu bilanya berlaku), saya didatangi oleh seorang sahabat karib:

“Shah, aku tak boleh lupa budak tu la. Dah la alim, baik bla..bla..”

“Siapakah gerangan perempuan itu, sahabatku?” (ceh kenapa ayat skema tiba2?)

“Si Dora tu kelas 1 Amanah tu” (gila aku ni reka nama kelas mcm kelas sekolah rendah)

Maka darah saya menderau kerana Dora juga merupakan gadis yang saya kejar! Argh.. apa patut saya jawab?

Ketika ini saya mengalami konflik kerana sebagai seorang rakan, saya tidak boleh hampakan rakan karib saya.

Tapi saya juga punyai perasaan. Saya bukannya robot Doraemon yang hanya tahu makan donat.

Maka jawapan saya - “Relaxlah. Kalau kau betul-betul sukakan dia, mengoratlah cara yang sebetulnya … ikut cara yang sebaiknya…jangan couple..bla bla bla (penerangan yang membantu dia mendapatkan Dora)”

Setelah rakan saya beredar dari situ, saya hanya mampu tersenyum.
Rasa macam orang bodoh pula kerana mengabaikan perasaan sendiri semata-mata orang lain.
Mungkin rakan karib saya tu seorang yang warak dan bersesuaian yang amat dengan Dora>
Saya? Haih status saya dan Dora memang jauh berbeza.
Maka atmaku menangis berlagu hiba.(wakakaka)

____________________________________

Kes Kedua

Juga suatu ketika dahulu ketika zaman kanak-kanak yang masih bermain pistol ceri dan mungkin mencari ikan laga di parit berhampiran

Maka saya dan beberapa rakan perempuan belajar di suatu kawasan terbuka.

Salah seorangnya adalah gadis berjilbab lengkap bernama Mew Choo (sengaja letak nama Cina). Wajahnya sememangnya berdebu dengan bedak-bedak wangi bersama cabang-cabang ciri keindahan fizikal dan rohani yang sentiasa dipersembahkannya ketika saya dan dia bertemu. Dan memang saya menyukainya pun.

Tiba-tiba dia bersuara

“Shah, aku sedih la,”

“Ya ya kenapa. Ceritakanlah. “kataku sambil meneliti gambar musang yang baru dibeli di kedai. Rakan-rakan perempuan lain seolah-olah karam dengan petikan butang di kalkulator masing-masing.

“Aku sayang kt pakwe aku yang dulu lagi, tapi aku sakit hati sangat kat dia sebab buat aku macam sampah dulu. Mcm mana ye?”

Kua kua kua.. hancur lagi harapanku.

Kalau ikutkan emosi, memang saya akan cakap. “Memang pakwe ko tu tak guna pun,”

Tapi atas rasa tanggungjawab sebagai rakan yang diberi kepercayaan untuk membantunya, dengan pedih hati saya bercakap - “Ala biasa la tu. Manusia semua buat silap. Nanti kalau ko kawin pun suami ko buat silap, takkan terus nak break kot. Biasa la tu manusia… Bla bla bla”

Maka dia terangguk senyum
Aku terangguk hampa.
Tapi kerana ada gambar musang yang comel yang baru dibeli itu, saya gembira semula.

_________________________________________

Kadang-kadang saya rasa macam bodoh kerana mengabaikan perasaan sendiri
Demi perasaan orang lain.
Tapi itu tugas saya, sebagai seorang sahabat dan sebagai seorang ‘kaunselor’ bagi masalah yang dialami rakan-rakan
Argh, cinta dan perasaanku musnah dek kerana tanggungjawabku.

Tapi saya rasa puas hati yang amat
kerana membantu orang lain menyelesaikan masalah, walaupun diri sendiri merana

Tapi itu cerita masa dahulu kala. Bukan sekarang. Sekarang saya sudah memegang prinsip “Couple menyusahkan hidup, membawa maksiat, membodohkan diri,  menghilangkan jati diri)“.  Jadi semua ini hanya jadi kenangan yang ingin saya kongsikan bersama anda.

Apa yang saya ingin sampaikan di sini adalah, janganlah kerana cinta anda lupa tanggungjawab anda sebagai seorang rakan untuk memberi nasihat yang sewajarnya.  Jangan jadikan emosi sebagai satu kayu ukur dalam mencari keputusan. 

19112008857.jpg
Remaja darsawarsa ini perlu bijak mengawal emosi dalam melakukan keputusan atau apa sahaja situasi yang berlaku - Gambar Hiasan.. (ni sebenarnya gambar Azmirul dan Naveen tengah main pedang kertas mahjung terpakai).  - sememangnya tiada perkaitan dengan tajuk. (Sorry guys)

Jadi apa kata anda mengenai tindakan saya? wajar atau tidak?

 

(segala nama dan peristiwa di atas diubah berdasarkan pengalaman asal saya - untuk mengelakkan berlakunya salah faham yang pelbagai)

Ah terasa begitu pening kerana ditempek beberapa titisan hujan asid di kepalaku sebentar tadi. Semuanya kerana ingin melintas ke wakaf membeli juadah larut malam yang bagiku adalah suatu yang amat bermakna dan tidak boleh ditinggalkan.

Bersama buku nota  Math yang sudah ternganga luas, aku menjenguk laptop ini sebentar…

Terdapat beberapa soalan diajukan kepada saya mengenai cerpen yang saya siarkan pada entry yang lalu. Disebabkan saya berasa tertekan dengan pelbagai hal jadi lebih mudah untuk berbicara dalam konsep Soalan dan Jawapan.
1) Kenapa cerpen itu ditulis?
Saya menulis kerana menerusi pengalaman saya sendiri. Ramai rakan saya yang mengejar perempuan muslimah dan ada pihak yang menagih cinta perempuan sebegitu kempunan kerana taraf mereka yang tidak sama (dari segi ilmu agama). Malahan saya juga pernah menaruh hati pada perempuan sebegitu. Tapi tidak pula saya mencuba kerana sudah tahu tidak akan dpt apabila meneliti semula ilmu saya yang cetek. Saya juga beranggapan bahawa orang yang berilmu selalunya akan dipandang mulia berbanding orang yang kurang ilmunya dan ‘mangsanya’ dalam cerpen ini adalah Hamid.

2) Ada kritikan apa-apa?
Mungkin kepada sikap sesetengah umat yang menggunakan agama untuk memperolehi apa yang dia kehendaki. Atau dengan kata lain ibadat yang tidak ikhlas. Walaupun saya masih belum ketemu orang sebegitu tapi tanggapan negatif saya kepada sesetengah pihak membuatkan wujudnya watakHamid ini - dalam dunia sebenar mungkin agak sukar tapi ianya bukanlah mustahil untuk terjadi.

3) Kenapa nama watak adalah Hamid dan Dalila?
Ada sesetengah orang bertanya kenapa saya gunakan nama Dalila. Jawapan saya mudah sahaja iaitu tiada sebab yang khusus. Saya ada ramai kawan nama Dalila dan tidak bermaksud sesiapa pun. Dalila dalam cerpen saya hanyalah satu ilusi saya dan kalau betul wujud watak seperti ini, itu saya tak tahu. Mungkin ketika saya mencipta watak ini saya diepengaruhi oleh perwatakan beberapa rakan saya. Entah.
Berkenaan nama Hamid, mungkin ada mengatakan nama yang agak lama dan old school. Saya kurang memberi perhatian tentang penggunaan nama dan mungkin saya perlu berubah selepas ini. Ada berpendapat nama memainkan peranan penting dalam menghasilkan mood kepada pembaca tapi rasa tidak realistik pula jika nama yang digunakan terlalu ‘bombastik’. Kerana itu saya sering memilih nama yang ringkas sahaja. Cerpen pertama saya bertajuk Satu Pengorbanan pun menggunakan nama Danial dan Razak - yang saya rasa akan mengundang komen yang sama.

4) Jalan ceritanya agak klise?
Saya mendapat dua komen - ada yang mengatakan penamatnya tidak boleh diramal dan ada yang berpendapat yang mereka sudah boleh mengjangkakan apa yang terjadi. Mungkin cerita ini agak klise dan insyaAllah saya akan cuba memperbaiki lagi jalan penceritaan karya selepas ini.

5) Nak buat cerpan?
Ya ada mencadangkan saya membuat cerpan untuk kisah Hamid dan Dalila ini. Bukannya tak mahu buat tapi saya sendiri tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan cerpan itu. Memandangkan saya bukan penulis veteran, saya rasa biarlah saya menulis cerpen seperti mana penulis-penulis lain yang ada sekarang. Bagi saya jika saya tampil dengan cerpan maka saya akan menemui satu jalan mati kerana saya masih baru dalam dunia penulisan dan lebih baik saya mengikut apa yang dibawa oleh penulis-penulis veteran. (Veteran di sini bermaksud berpengalaman).
Saya juga nak minta maaf kerana terkasar sedikit dalam menjawab soalan ini kepada seorang rakan dan telah tersilap memahami apa yang ingin saya sampaikan. Sebenarnya saya nak sampaikan maksud yang sama di atas ini.

6) Penggunaan bahasa yang lewah dan tidak sesuai
Mungkin cubaan saya untuk menulis sesuatu yang bercorak islamik agak gagal kerana saya sememangnya bukanlah terlalu arif dalam bidang agama. Maka wujudlah beberapa perkataan yang jarang didengar walaupun maksudnya serupa (saya semak menerusi kamus dewan). Tetapi mungkin penggunaannya kurang sesuai untuk sesetengah keadaan.

Saya ingin ucapkan terima kasih kepada pembaca yang memberi komen. InsyaAllah boleh dimanfaatkan segala apa yang anda kritik itu. Saya masih baru dan masih memerlukan banyak pendedahan.

Buku sudah merengek manja …Maafkan saya.

Berasa tertekan dengan beberapa masalah dialami berkenaan laptop ini dan dikekang pelbagai matlamat untuk cuti pendek hujung minggu ini membuatkan saya berasa akan tertekan sebenarnya. Tapi biasalah hidup sebagai budak IB.

Walaupun dalam kotak pemikiran terkandungnya pelbagai idea dan cerita ingin dikongsi bersama rakan-rakan di laman sawang ini namun saya rasa mungkin sukar untuk hajat itu dilunaskan. Jadi kali ini saya ingin mempersembahkan cerpen saya yang ketiga pernah saya hasilkan, Cinta Seorang Pemuda. 

Mungkin kerana stail saya yang kurang fokus menyebabkan cerpen yang mudah dan hanya 2450 patah perkataan ini mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan. Alhamdulilah saya berjaya menyelesaikan ayat terakhir ketika cuti hari raya yang lalu.

Kepada sahabat di GKLN, Saya tidak sempat menghantar untuk dikritik di group kerana lihat terlalu banyak karya dihantar ke sana dan mungkin tidak sempat untuk dikritik. Lagipun karya ini bagi hemah saya masih belum mencapai taraf yang sesuai untuk menembus ke group kita, apatah lagi untuk ke media. Jadi biarlah cerpen ini disiarkan ke sini untuk dikritik rakan-rakan GKLN dan pengunjung yang lain.

Walaupun sebelum ini saya sudah mendapat kritikan terhadap beberapa kelewahan tapi saya rasa lebih baik saya siarkan karya asli supaya barulah karya saya yang dikritik, bukan yang telah digubah

Jadi pembaca silalah kritik :-). Saya sememangnya dalam proses pembelajaran dan dahagakan komen-komen anda walaupun sepatah. Terima kasih.

Cinta Seorang Pemuda
Oleh: Shahkang

“Aduh, mana dia ni!?”

Hamid mengeluh panjang sebelum menghela nafasnya dengan sekuat-kuat - tertekan kerana orang yang dinantikan belum kelihatan kelibatnya. Dia mengibas-ngibas lantai simen kelabu tempat dia memacakkan kakinya dengan suratkhabar yang baru dibeli dan menjelepokkan tubuhnya dengan selesa. Matanya kadang-kala mengerling jam dinding plastik berdekatan pintu utama masjid. Sinar cahaya semakin membalam menanda tirai senja mulai tersingkap menggantikan redup petang.

“Sembahyang Asar apa lama sangat ni,” katanya sambil membuka helaian demi helaian suratkhabar lusuh itu.

Srett…!

Kedengaran seretan pintu kaca masjid itu bergelongsor dan Hamid bingkas bangun dan  menepuk-nepuknya punggung teposnya untuk membersihkan habuk. Cuka wajahnya seolah-olah dibilas dengan segelen manisan setelah melihat Dalila rakan sekuliahnya yang dinanti sejak sejam yang lalu telah muncul. Hamid melangkah mendekati sahabatnya bersama degupan jantung yang mula mengatur rentak pantas.

“Dal!”

“Assalamualaikum, Hamid! Hah, ada apa ni?”

“Err. Walaikumsalam” balas Hamid dengan sekuntum senyuman kelat. Merah padam wajah cerahnya itu dek lupa memberi salam.

“Saya nak pinjam nota kuliah Dr. Fred tadi, saya duduk di belakang tak nampak tulisan kenitnya tu, boleh kan?” sambungnya.

“Boleh saja. Semangat betul awak ni, Mid. Sanggup tunggu saya untuk sekeping nota comot ni. Maaflah lambat, tadi saya ada usrah,“ Dalila mengambil beg sandangnya dan membelek-belek kepingan kertas di dalam fail poketnya.

Hamid masih kekal dengan sengihannya. Bukanlah semangat belajar yang mendorongnya tetapi ada niat lain yang telah disisipkan bersama. Dalila menghulur sekeping kertas biru kumal yang telah dicoret pelbagai persamaan dan rumus matematik yang berselirat di atasnya dengan rencaman warna pen yang menarik.

“Kalau boleh pulangkan esok sebab saya nak study untuk kuiz rabu depan. Eh, saya dah lewat nak ke majlis iftar! Dah hampir waktu maghrib ni. Marilah pergi sekali kalau awak ada kelapangan,”

“Tak apalah, selamat berbuka!” Terasa tertampar wajah Hamid apabila mengimbau kali terakhir dia berpuasa sunat semasa di sekolah berasama penuh empat tahun dahulu. Itupun kerana sekolah mewajibkan pelajar berpuasa sempena hari Nisfu Syaaban. Kalau tidak memang mustahil untuk dia menahan lapar dan dahaga untuk suatu ibadah yang hukumnya tidak wajib.

“Kalau begitu tak apalah. Saya nak pergi dahulu nanti lambat pula, assalamualaikum!” Dalila terus berlalu dan melintas jalan untuk ke perhentian bas di hadapan masjid untuk menyertai puluhan pekerja pejabat yang sedang menanti bas. Di celah-celah kelompok manusia terdapat kerusi yang sudah penuh dilabuh orang. Dalila berdiri sambil menyelak-nyelak naskhah Al-Quran yang sebesar tapak tangannya sebelum berhenti di satu muka surat dan memulakan pembacaan dengan perlahan. Mereka yang berada di situ sekali-sekala menlirik ke arah gadis bertudung hijau cerah itu. Mereka kagum dengan kesanggupannya membaca kitab Allah itu walaupun penumpang lain sibuk mengibaskan diri sendiri kerana kepanasan akibat angin yang tidak memuput seperti selalu. Kekhusyukannya langsung tidak tercela walaupun sesaga.

Hamid mengamati gadis idamannya itu sambil berjalan menuju ke wakaf berhadapan dengan masjid tempat dia meletakkan motosikalnya. Tidak terlepas sesaat pun segala perlakuan Dalila yang betul-betul memikat hatinya, malah mungkin ratusan kaum Adam yang lain. Sekujur tubuhnya itu sentiasa dibaluti lapisan kain polos yang berlapis-lapis – menutup segala aset seorang wanita yang mampu membuaskan nafsu lelaki. Disulam pula lembar-lembar benang keimanan di segenap tubuhnya bersama benih-benih ketaqwaan yang sentiasa bercambah dari pancaran wajahnya yang selalu tenang itu. Tampak berbeza benar dengan rakan wanita Hamid yang lain. Mungkin itulah yang merasuk Hamid untuk mencintai Dalila walaupun ungkapan rasa hati belum terpacul dari mulutnya.

“Berpeleseran lelaki dan perempuan hukumnya haram, melainkan setelah diijabkabulkan melalui ikatan suci pernikahan. Firman Allah melalui surah Al-Isra’ ayat ke-32 yang bermaksud, janganlah kamu menghampiri zina. Ingatlah kawan-kawan, berpasangan antara kita secara haram kadang-kala boleh mengakibatkan kita terlangkah setapak ke arah zina,” Hamid teringatkan pembentangan Dalila dalam kelas agama Ustaz Ismail bulan lepas. Seluruh kuliah diselubungi hening mendengar pentarbiahan Dalila menerusi petah kata-katanya membaca maksud ayat Al-Quran dari surah Al-Isra’ itu. Selepas itu, makin kurang rakan sekuliah mereka yang berlagak sepeti belangkas ke hulu ke hilir menayangkan hubungan haram mereka itu. Kelibat manusia bertenggek bersama angin asmara mereka di sudut-sudut sunyi kawasan kolej juga kian susut. Dalila amat menitikberat soal pergaulannya dengan lelaki dan kerana itulah Hamid terpaksa mengatur langkah berhati-hati dalam memenangi zabarjad hatinya itu.

Hamid tersentak daripada lamunan singkatnya. Tatkala azan Maghrib berkumandang dia terus memecut motosikalnya meninggalkan asap kelabu motosikalnya yang menggejuju dan menodai ruang udara masjid itu. Tidak terlintas langsung di hatinya untuk bersama-sama bersolat jemaah.

*         *          *

Suasana blok kediaman lelaki seperti malam-malam biasa. Kadang kala kedengaran nyanyian sumbang pelajar bersama petikan gitar melulu tanpa irama yang teratur dan ada juga penghuni yang diselubungi hening bersama lambakan tugasan yang perlu segera disiapkan. Hamid dan Kamarul, rakan sebiliknya membisu sahaja sambil jari-jemari masing-masing melekap di kekunci computer serta melantun-lantun untuk menyiapkan tugasan mereka.

Hamid merenggang-renggang lengannya sambil menghempaskan tubuhnya yang kurus kering itu  ke tilam bujangnya. Bantal empuknya menjadi pelabuhan kepalanya yang sudah disebui kira-kira kalkulus yang menyerabutkan jiwa. Sesekali dia mengeluh berat.

“Kau agak Dalila tu layak tak untuk aku?” suara serak Hamid memecah keheningan bilik itu. Kamarul yang sedang asyik meneliti hasil kerjanya di skrin komputer bimbitnya sedikit terkejut..

“Kau lelaki dan dia perempuan. Apa masalahnya?” katanya berseloroh sebelum menyambung semula pengamatannya kepada skrin terang-benderang itu.

“Ish, ke situ pula kau ni! Maksud aku dia tu warak macam ustazah. Aku ni? Wirid lepas solat pun aku tak terhafal kau tahu? Yang lain tu jangan ditanyalah,” fikiran Hamid mula melayang mencari kekurangan dirinya. Memang berbeza benar dirinya dengan pujaan hatinya itu. Dalila merupakan seorang muhsinat bernadikan mujahadah pejuang sejati. Muraqabahnya sepanjang waktu bagaikan kesetiaan langit menemani bumi. Sifat mahmudahnya? Ah, hingga ke hujung dunia pun sukar diganti! Hamid apa yang ada?

Kamarul tersenyum tanda mengerti persoalan yang menyerbu kotak fikiran sahabatnya itu.

“Aku rasa kau patut berubah, Mid. Kau tu pipit sahaja tapi berkehendakkan si helang. Dalila tu mesti kerkehendakkan muslimin yang dapat membimbingnya ke arah jalan yang diredhai Allah. Kalau macam perangai kau sekarang, alamatnya masuk longkanglah!” Kamarul tergelak sedikit bersama tegurannya yang berbaur sinis itu. Ungkapan yang cukup untuk menghiris kalbu Hamid menjadi jalur-jalur keinsafan. Hamid sedar yang dia tidak layak untuk meniarap sama tinggi dengan Dalila, apatah lagi hendak duduk atau berdiri.

“Apa yang patut aku buat?” getus rasa hatinya yang disergah perasaan seribu resah. Dia tidak mahu kehilangan nilam hatinya yang sudah lama ingin ditawannya itu.

*          *         *

Suasana masjid sepi tanpa pengunjung. Matahari baru sahaja naik segalah dan air embun pun masih lagi segar menempek di pohon semalu di taman perkarangan masjid. Hanya Hamid dan beberapa ahli surau menapak masuk ke masjid untuk menunaikan solat sunat duha. Hamid mengalirkan air ke celah-celah jari kakinya sambil menggosok-gosok sebarang kotoran yang menghalang wuduknya daripada sempurna. Dia kemudiannya melaksanakan solat sunat yang sangat besar fadhilatnya itu secara berseorangan di satu sudut sunyi masjid yang mampu mendamaikan hatinya serta menambah kekhusyukannya.

Setelah selesai berdoa kepada Allah Rabbuljalil, dia teringatkan Dalila. Lantas dia menderaskan langkahnya bagai lipas kudung menuju ke tangga surau. Ah, sandal biru kepunyaan gadis itu masih di situ! Dia tersenyum sendirian dan sengaja melambatkan pemakaian kasutnya sambil membelek-belek telefon bimbitnya kononnya seperti membalas mesej. Hampir dua hari tidak menatap wajah puteri kesayangannya itu. Kesatuan rasa cinta dan rindu telah meratus gila dari perdu hati terunanya itu.

Suara Dalila yang kedengaran tidak jelas akibat dibatasi pintu kaca itu sedikit menjompakkan keriangan hatinya.. Gementar jiwanya menjalar hingga ke seluruh badan. Bergetar tanpa disedari sesiapa pun. Dalila dan rakan usrahnya, Yasmin mula mendekati tangga surau untuk memakai kasut mereka sebelum berjalan menuju ke bilik kuliah masing-masing.

“Eh, Hamid. Dah solat duha?” Dalila sedikit terperanjat.

Hamid menguntumnya senyuman yang tidak putus-putus kepada Dalila. Dia pasti nada terkejut itu akibat perubahan dirinya yang secara tiba-tiba itu.
“Sudah. Tadi pagi saya ada usrah dengan Abang Man. Pelajar tahun akhir perubatan tu. Menarik juga berbincang mengenai kes murtad tadi,” jelasnya dengan sedikit rasa bangga. Harapannya agar Dalila menyedari sesuatu yang berlainan dalam dirinya. Jika dahulu waktu rehat paginya dipenuhi dengan derai tawa bersama rakan di kafeteria, kini dia beralih kepada program agama yang membina jati diri dan ukhwah sesama pelajar Islam di universitinya. Tiada lagi bayangannya berpeleseran bersama rakan sekuliahnya dengan motosikal berkuasa tinggi dan deraman enjin yang membingitkan. Dia benar-benar telah berubah demi kasihnya kepada Dalila yang tudungnya melabuh hingga ke punggung itu.

“Oh, baguslah begitu. Tak tahu pula awak dah sertai usrah sekarang. InsyaAllah mudah-mudahan banyak lagi rakan kita akan mengikut jejak langkah awak ni,” kata Dalila sambil tangannya melambai ke arah Yasmin yang sudah beberapa langkah dari situ.

“Hendaknya begitulah. Dah lewat ni, jom ke kelas nanti tak dapat duduk barisan depan. Jenuh kena jegil biji mata nak menyalin nota Dr. Fred,” cadang Hamid. Mereka bergegas meninggalkan tangga masjid itu apabila teringatkan betapa halusnya tulisan professor subjek kalkulus mereka itu.

Dalila terus meninggalkannya berseorangan dan tidak menunggu Hamid walaupun mereka menuju arah yang sama, dewan kuliah yang sama. Hamid yang pada mulanya terkedu dengan perbuatan rakannya itu mula memahami prinsip gadis itu - amat menitik berat soal pergaulan dengan lelaki. Walaupun sekelumit rasa terkilan mula terpancar dari raut wajahnya, tapi meluap-luap juga rasa kagumnya kepada rakan sekuliahnya itu. Dalila bukanlah gadis murahan seperti Emi dan Hazirah yang sangat mudah menerima umpanan lelaki termasuk dirinya untuk keluar berhiburan hingga fajar Subuh muncul di kaki langit sebelah timur. Hamid pasti muslimah pilihannya kali ini tidak silap seperti sebelumnya dan mampu menjadi seorang teman hidup yang setia hinggalah nafas terakhirnya.

*         *          *

Tamat sahaja kelas dia terus bergegas ke masjid universiti yang sepenanak nasi lamanya berjalan kaki dari bangunan akademik untuk menunaikan solat Zohor berjemaah. Sekitar jam dua petang pula dia dijemput untuk menyertai satu simposium akhlak Islamiah dan sudah pasti dia tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu yang membawa dirinya lebih dekat dengan Dalila. Gembiranya bukan kepalang melihat gadis berkening rimbun dan berdahi licin itu bersama-sama dengannya dalam masjid itu. Bunga kasihnya bertambah mekar menjernihkan sinar wajahnya yang sudah sedia tampan itu bersama gelojak rasa cinta yang tidak pernah menjengah atmanya sebelum ini. Betapa bahagianya Hamid.

Dalila pula berkali-kali memanjat kesyukuran kepada-Nya. Kadang-kala tidak percaya akan perubahan mendadak yang berlaku dalam diri Hamid. Setiap kali terpandang Hamid dalam majlis-majlis agama, dia hanya menghadiahkan senyuman manisnya sebagai tanda ukhwah sesama saudara seagama.. Hatinya tidak pernah terdetik walau sekumin rasa cinta pada sahabatnya itu. Buah-buah sayang yang ranum terhadap Hamid juga hanyalah sebagai seorang sahabat seperjuangan dalam lapangan yang sama. Tidak lebih dari itu.

Sepurnama sudah perubahan dalam diri Hamid. Dia begitu selesa dengan kehidupan barunya sebagai seorang yang sering menzahirkan diri di rumah Allah. Seperti hari-hari biasa, dia menunggu Dalila di tangga surau tempat mereka menyimpan kasut. Dia didatangi Abang Man yang kebetulan sering menggunakan tangga yang sama.

“Mid, kalau petang Ahad minggu depan ada masa lapang, datanglah sini. Ada majlis akad nikah dan jamuan ringan sikit. Pelajar universiti kita yang bernikah,” kata Abang Man.

“Oh, siapa? Saya kenal?” soal Hamid. Sebelum ini memang berjabu pasangan melangsungkan majlis ijab kabul mereka di situ yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar universiti dan rakan-rakan Hamid juga.

“Dalila dan Fazrul. Rasanya Dalila tu budak kejuruteraan macam awak juga. Datanglah kalau tak keberatan,” kata Abang Man sambil berlalu pergi. Berderau darah Hamid mendengar butir-butir kata yang terakhir itu bersama mulutnya yang terlopong luas. Detak jantungnya yang tenang tadi tiba-tiba bagai direnggut lintasan halilintar. Resah kian memayungi perasaannya.

“Dalila hendak berkahwin? Dengan Fazrul? Fazrul tahfiz Al-Quran yang satu kumpulan usrah dengan aku tu?”  dia berbicara sendirian. Dia teringatkan perihal Fazrul, seorang qari yang terkenal dengan alunan merdu suaranya yang serak parau itu sering mendendangkan ayat-ayat Al-Quran di masjid atau majlis-majlis rasmi universiti.  Hamid mula terasa betapa ketara perbezaan dirinya dan Fazrul sama seperti dirinya dan Dalila. Kalau bersama dengan Fazrul dalam sesi usrah, dia sering saja membungkam bisu dan hanya menadah telinganya mendengar hujah-hujah Fazrul yang bernas diselitkan pula dengan hadis-hadis atau potongan ayat Al-Quran yang sudah dikhatamnya berpuluh kali. Hamid berasa dirinya sudah gagal dalam memenangi hati Dalila. Masakan helang boleh disamakan dengan pipit. Sampai bila-bila pun tidak akan sama.

*         *          *

Kamarul mula menyedari perubahan Hamid yang kembali kepada perangai lamanya. Mashaf Uthmani yang sering digunakan Hamid untuk membaca surah Al-Mulk setiap malam sebelum melelapkan mata kini disawangi habuk di atas almari. Kelibat motosikalnya memasuki pintu pagar masjid dan memarkir di hadapan tangga surau kegemarannya juga tidak dapat dilihat lagi.

“Kau berubah selama ini hanya kerana Dalila? Bukan kerana Allah?” tanya Kamarul yang benar-benar dirundung rasa kecewa ekoran perbuatan rakannya itu.
Hamid tetap membisu bersama kolam air matanya. Baginya tiada apa lagi perlu dikejar. Permata idamannya sudah dikebas orang lain yang lebih layak dan berhak. Kamarul tercengang seketika melihat fiil rakannya yang sudah dikenali sejak dua tahun ini. Hamid tidak pernah bersikap sebegini. Kalau meraung kesedihan sekalipun, Hamid akan pulih setelah beberapa hari. Kini sudah hampir seminggu dia hanyut dalam lautan kehampaannya itu. Selaksa tugasan yang diberikan pensyarah langsung tidak diendahkan apatah lagi hendak menyelak buku kalkulus atau kimia yang setebal kira-kira dua inci itu.

Dalila turut sama merasai kehilangan Hamid. Pemuda itu tidak hadir ke kelas kuliah apatah lagi untuk bertemunya di tangga masjid seperti selalu. Linangan air mata jernih muslimah itu membasahi kain tudungnya apabila Kamarul menceritakan kisah sebenar Hamid kepadanya. Dalila kecewa kerana Hamid bukanlah benar-benar mentaslimkan diri kepada Allah Rabbulalamin seperti yang disangkanya. Sebaliknya murad Hamid selama ini hanya kerana dia, seorang hamba Allah yang hanya mengabdikan diri kepada-Nya dan tidak mempunyai apa-apa keistimewaan mahupun mukjizat seperti mana yang dikurniakan-Nya kepada para nabi dan rasul. Dia tidak mampu berbuat apa-apa melainkan mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah agar Hamid diberi musaadah untuk dipimpin semula ke jalan yang benar.

*         *          *

Hamid cuba mengagahkan dirinya ke kuliah setelah seminggu berkurung di hostelnya dengan harapan tidak bertembung dengan Dalila seperti sebelum-sebelum ini. Dia mengerling sekitar biliknya mencari buku-buku notanya yang sudah hampir seminggu tidak dijenguk. Tiba-tiba, dia terlihat sepucuk surat berwarna merah jambu yang terdapat di atas mejanya. Perlahan-lahan dia menarik keluar isi surat dan tangannya terketar-ketar setelah nama Dalila terpampang sebagai penukil di sampul surat.

Assalamualaikum Hamid,

Berubahlah kerana Allah Azzawajalla. Bukan kerana diri yang hina ini. Diri ini tidak mampu menyelamatkanmu dari kepanasan api neraka atau raunganmu di dalam kubur kelak. Renungkanlah firman Allah menerusi surah Al-An’am, ayat ke-162 yang maksudnya segala perbuatan kita sebagai hambanya di muka bumi ciptaan-Nya ini hendaklah semata-mata kerana-Nya, tuhan yang Maha Esa. Hamid, ingatlah bahawa kepada-Nya kita berserah dan kepada-Nya juga kita meminta pertolongan. Diri ini berharap Hamid akan bertemu gadis yang lebih layak untukmu kelak. InsyaAllah.

Sahabatmu, Dalila

Rasa malunya kepada Allah memuncak. Tasik bening yang bertakung di matanya mengalir lagi. Dia teringatkan ayat surah itu yang pernah dibincangkan dalam usrah yang dikendalikan oleh Abang Man. Dia sedar selama ini dirinya dihasut syaitan laknatullah untuk mengejar pasangan hidupnya, bukannya rahmat dan keredhaan Allah yang menjamin kehidupan ukhrawi dan duniawi. Air mata yang menuruni pipinya bertambah deras mengimbau kembali bagaimana dia sanggup menggunakan ibadah hanya untuk berada setaraf dengan Dalila. Dia mulai sedar selama ini dia hanya termakan bisikan syaitan yang telah memesongkan niatnya dalam melaksanakan ibadah kepada Allah.

“Terima kasih Dalila. Semoga bahagia di samping suami tercinta,” bisik hatinya. Dia segera menyentengkan lengan bajunya dan menuju ke tandas untuk mengambil wuduk bagi menyempurnakan taubat nasuhanya kepada Allah Rabbulghafur dengan solat sunat sebanyak dua rakaat.

avatar

Shahkang merupakan nama pena kepada Norshah Aizat bin Shuaib. Menetap di Kangar, Perlis namun kini berjuang dalam kancah tahun 2 program International Baccalaureate (IB) di Kolej MARA Banting, Selangor. InsyaAllah akan meneruskan perjalanan dalam bidang kejuruteraan di universiti yang belum lagi diketahui namanya.

Merupakan seorang peminat sastera dan bercuba untuk menjejakkan kaki dalam dunia penulisan kreatif. Seorang kaki buku dan surat khabar dalam kedua-dua Bahasa Melayu dan Inggeris. Hobi adalah membaca sebarang jenis buku yang menarik terutamanya dalam soal perniagaan, motivasi, diari perjalanan dan karya kreatif penulis mapan.

Sebarang pertanyaan dan masalah, saya boleh dihubungi melalui:
ID Yahoo Mesengger: shah_jat
Emel: shah_jat@yahoo.com
Friendster dan Facebook: shah_jat@yahoo.com


Lebih lanjut mengenai saya