Peperangan Kuih Cara
Lidah mana tak bergetar dan hati mana tak bergolak bila teringatkan kuih cara. Bagai melambung mencium bumbung langit perasaan bila menatap setiap satu kuih cara berlabuh di pinggan. Satu demi satu diam dengan tertib, umpama hamster yang lena di sudut sangkar. Cuma bedanya, hamster ada ombak nafas dan kuih cara hanya mengunci gerakan.
Ada yang menipu si kecil, katanya kuih cara berfizikal seperti ‘belakang kura-kura’. Oh, itu aku tidak nafikan. Sememangnya kelihatan seperti cangkerang kekura yang sememangnya punya kecomelan tersendiri. Bagiku semasa kecil memang larut dalam penipuan abang yang ‘mengapi-apikan’ sentimen ‘cangkerang kekura’.
Apa-apa sahaja. Rasanya tetap manis. Panggillah ia kuih A atau kuih Afif Nawawi sekalipun, rasanya serupa. Kemanisan tetap menjadi mendak dalam keasyikan.
Asyik, betapa serius penangan kuih cara. Serius. Rinduku bagai menujah kotak hati yang sepi.
Kumpulan Cara – Dua Jenis
Adapun sebuah kisah, serupa macam kisah dongeng tiada benar tiada palsu. Terpulang pada penerima untuk menimbang tara mana perlu diambil mana perlu dibuang. Aku tidak memacakkan pembaca pada satu paksi maklumat.
Adapun kisahnya, wujudlah sejenis cara lain iaitu cara berlauk. Tampak fizikalnya jelas sekali berbeza kerana berwarna kuning sedangkan cara bergula @ kekura itu berwarna hijau. Tiada manis, pasti! Cara berlauk dihuni oleh seketul dua serpihan daging dan cili dan bukannya larutan gula seperti cara bergula.
Cara Bergula Vs Cara Berlauk
Adapun cara bergula dan cara berlauk tidak mampu berkata-kata, yang hingar dan bingarnya adalah penjual kuih cara itu sendiri. Hubungan cara berlauk dan cara bergula umpama simbiosis ciptaan Allah yang lain.
Benar, bolehkah kau belai logik akal – apakah kuih cara kuning atau hijau mampu berkata-kata, atau Skype sesama sendiri?
Jika anda mengaku boleh, saya boleh katakan anda berfikiran terlalu jauh atau mungkin anda memikirkan kuih cara adalah nama gadis impian anda (Tiara? Lara? Zara (boleh beli jaket) !).
Tidak, ini adalah kuih cara. Cara berlauk dan Cara bergula. Apa ada Tiara berlauk dan Tiara bergula? Tolong jangan pesongkan penulisan ini (sebenarnya aku sendiri yang sewel!)
Penjual Cara Bergaduh
Saling tidak berpuas hati. Cara bergula tidak dapat menerima kenyataan bahawa ada aliran penyediaan kuih cara yang menyimpang dari resepi asal. Cara berlauk pula tegas. Apa salahnya diubah?
Maka bertengkarlah mereka pada suasana malam yang pekat tanpa kehadiran bulan ataupun lampu.Kedengaran bisik dari satu kawasan melayah ke medan lain. Buu Buu Buu..
“Apa mungkin cara berlauk boleh diterima logik akal!” kata penjual cara bergula.
“Siapa menentukan cara hanya boleh disumbat gula dan bukan daging? Ah, kami akan hadir dengan ’sumbatan’ santan, keropok lekor, papadom dan limau nipis!”
Siapa yang menentukan? Siapa yang menetapkan kaedah penyediaan kuih cara yang sebenar-benarnya @ yang asli?
Kisah Penjual Cara Bergula
Adapun aku ingin menyempitkan skop pada satu pihak, mustahil aku meloncat di kedua-dua belah kerana aku sukar membelah badan (aku bukan Amoeba atau bakteria yang boleh berpecah-pecah). Biarlah aku memilih cara bergula kerana cara berlauk juga mungkin menghadapi masalah yang serupa
(Sebenarnya aku lebih mengidam cara bergula saat dingin berbunga sebegini, maaflah cara berlauk)
Adapun, wujudlah Persatuan Cara Bergula. Didaftarkan oleh penjual-penjual cara bergula sedunia. Bangkit dengan paduan dan panji-panji bercorak, dengan satu seru untuk menumpaskan cara berlauk.
“Cara hanya untuk gula, cara bukan untuk lauk”
Maka berligan-liganlah penjual cara bergula yang bersemangat untuk mengembleng tenaga, berpadu suara dan keringat untuk menghapuskan cara berlauk dalam hidup masyarakat. Cara berlauk perlu ditumpaskan, untuk tidak mengacau-bilaukan industri ‘kecaraan’ yang berada bawah naungan Jabatan Makanan Tradisional.
Pak Afif Nawawi: The Hero
Sekalipun bagai hujan monsun menimpa negara pada musim tengkujuh diibaratkan penjual cara yang mahu bernaungan di bawah satu persatuan, Pak Afif tegar. Keras kepala dan dihempuk empat-lima kali pun, sememangnya kedegilannya adalah pada tahap ultimate.
“Aku mahu berseorangan dalam menentang cara berlauk” Pak Afif yang lutut terketar-ketar diserang usia itu mengeluarkan hujah.
Adapun Pak Afif sememangnya kurang senang berpersatuan. Dia kurang biasa. Style orang lama. Lebih suka menyendiri dalam menegakkan hujah.
Serangan Orang Berpersatuan
Sememangnya Pak Afif dikecam, puas dipujuk dirayu namun Pak Afif degil tidak mahu berpersatuan.
“Sayang, tidak mahu berpadu menentang musuh. Dia memang akan menjadi penyebab kegagalan”
“Masuklah Pak Afif, senang kita nak melawan cara berlauk”
“Blah la Pak Afif!”
“Tinggalkan Pak Afif, biar kita terus maju. Biarkan dia gagal. Jangan bagi bantuan langsung kepadanya”
Pak Afif Yang Daif
Sememangnya Pak Afif ada lenggok dan caranya tersendiri untuk menentang cara berlauk. Kaedah yang dirasakan lapuk tapi hasilnya boleh tahan.
Kalau Pak Afif berpersatuan, ibarat anak kucing liar Taman Kangar dilemparkan ke Chow Kit Rud – tiada peluang untuk survive kerana ketidak biasaannya.
Namun sayang, Pak Afif juga mengarut. Bukanlah kesepaduan yang teguh lebih mudah menumpaskan musuh?
dan adakah rakan penjual cara bergula yang lain layak untuk menentukan Pak Afif bukan seorang pejuang kerana kedegilannya menyertai persatuan?
Siapa layak mengatakan Pak Afif bukan seorang pejuang?
(memandangkan jumlah perkataan sudah pun 700 patah (banyak!), saya berhenti merapu sebentar)
Betulkah ini sekadar merapu? Entah!
Nasihat saya, pos ini tanggapannya luas. Jangan sempitkan kepada satu dua perkara, hanya kerana anda mengenali saya dan tahu situasi sekeliling yang anda rasa ‘Shahkang berada dalam situasi itu’.
Jangan pandai-pandai dan kemudian melemparkan tohmahan tidak berketahuan
Sample kuih

Cara bergula!

Cara berlauk!
Sumber gambar: http://gastronomicdiary.wordpress.com/2007/10/
Yang benar,
Shahkang yang lapar kuih Cara – berlauk dan bergula. Maaf kalian menjadi watak dalam pergelutan jiwa ini.
Kepada Afif, maaf dengan nama anda.
This entry was posted on Saturday, March 6th, 2010 at 4:09 am and is filed under Catatan Harian. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.




mama March 6th, 2010 at 10:16 am
kesiannya anak mama lapak kuih cara….nanti balik ni mama buat…yg pastinya cara bergula la..tu yg asli…