Novel Islami: Cinta Bukan Peneraju

(Sebarang ulang siar atau cetak perlu dimaklumkan terlebih dahulu)

Melihat kepada lambakan karya-karya berwajah islamik di medan pasaran dan minda remaja, ada sesetengah pihak ‘menampar’ dengan mengatakan isu-isu yang diangkat seakan klise dan hambar. Ada yang berpendapat bahawa kebanjiran novel-novel islami bertunjang cinta adalah sesuatu yang disifatkan basi dan memualkan – menodai anak muda dengan fikiran yang tak lekang dengan isu cinta. Tidak kurang juga yang mengetengahkan idea bahawa kebanjiran novel pop Islami mengundang fenomena kurang baik atas dasar lenggok penceritaan yang seakan-akan sama dan sebagainya.

Setelah fenomena karya agung Indonesia, Ayat-Ayat Cinta (AAC) menimpa, konsep cereka yang seakan serupa makin menjadi-jadi dan mendapat tempat di hati pembaca, khususnya golongan muda. Tambah membimbangkan, sesetengah karya kering dengan ilmu bantu lantas menjadikannya sebuah karya yang seakan tiada makna melainkan sekadar citra cinta yang membuai perasaan.

Begitulah rencaman pendapat yang dihamburkan kepada pertumbuhan novel-novel pop islami berkonsep cinta yang boleh dikatakan pesat dalam setahun dua ini. Persoalannya adalah, apakah benar karya-karya sebegini sesuatu yang tidak bermanfaat kepada perkembangan umat?

Sigmund Freud lewat kata-katanya “Idea berpunca dari sifat radang ke atas sesuatu” mungkin boleh dikaitkan dengan fenomena kebanjiran novel sebegini. Pengarang, terutama yang berpendidikan dan tinggi kesedaran agamanya sudah pasti tidak melahirkan karya sebegini sekadar untuk diteleku pembaca sebagai satu permainan emosi. Melihat gadis bangsa berpindah dari satu rangkul ke rangkul lelaki lain dan kebejatan maruah yang menjengkelkan semestinya menyalakan api bengang lalu dialirkan bara amarah ke jari-jemari sebagai satu langkah protes sosial.

Kewujudan novel cinta Islami yang lebih syariah compliance sewajarnya tidak menjadi masalah, malah jauh lebih sarat nilai dakwahnya berbanding novel cinta popular yang kadang-kala terselit romantis yang tidak bersesuaian. Apatah lagi jika diratah anak-anak belasan tahun yang masih mencari-cari makna diri. Saya tidak mahu katakan karya cinta popular adalah sampah, atas dasar saya memegang pendirian setiap karya pasti punya manfaat walaupun dikatakan picisan semata-mata.

Maka, apakah atas alasan wahana dakwah dan membangunkan masyarakat lantaran itu tema cinta sahaja yang harus diperjuangkan?

Tamsilnya gelora AAC sebagai fenomena baru yang utuh tidak sewajarnya sekadar ditumpukan pada aspek emosi sesebuah karya. Sebaliknya, aspek intelektual yang dilihat pembaca sebagai elemen minoriti sepatutnya diangkat menjadi serangkai pengajaran moral yang cuba dititipkan penulis. Tidak dapat disangkal, segelintir pembaca mengagungkan mainan emosi yang diketengahkan penulis sehingga memengap sinar ilmu yang tenyata lebih benderangnya. Didaktik sebuah karya bagai terhumban dan gelora jiwa yang sememangnya melalaikan menjadi pangkal bicara.

Melihat komentar pembaca mengenai AAC, dapat disaksikan bahawa kebanyakannya memilih untuk mengangkat tema cinta lebih dari yang lain. Komentar mengenai ketidakpuasan hati melihat Maria menjadi pengacau dalam hubungan Aisyah dan Fahri, diikuti dengan betapa agungnya cinta antara Fahri dan Aisyah sampai ada yang karam dibedal ombak khayalan masing-masing untuk memiliki pasangan sesempurna Fahri dan Aisyah. Ada juga mempersoalkan sama ada masih wujudkah insan semulia dan berperibadi gah seperti Fahri. Ah, bermacam lagi!

Persoalannya, adakah sekadar itu yang mahu diterapkan penulis? Cinta kosong dan kesempurnaan suka-gembira tanpa sebarang intipati lain untuk ditelan? Mustahil.

Menelusuri novel AAC, pembaca tidak seharusnya hanya mengambil pedoman cinta berteraskan nilai-nilai islamik untuk dibawa sebagai didikan moral. Bukan bermakna tidak wajar mengangkatnya sebagai sebuah mesej, namun masih ada terapan lain yang sama penting. Misalan yang mudah – kesungguhan Fahri menghadiri kuliah agama Syeikh Usman walau dalam cuaca yang kurang mengizinkan, perdebatan dalam keretapi antara Fahri dan seorang lelaki Mesir mengenai kebencian terhadap Amerika. Sesuatu yang boleh dipertanyakan, mengapa kita hanya hendak meniru segala stail cinta islamik yang ditonjolkan tapi kelihatan hambar bila mahu mencontohi trait positif watak yang sememangnya lebih diperlukan dalam memajukan umat?

Menyoroti novel Salju Sakinah garapan saudara Zaid Akhtar, perkisahan cinta antara Sumaiyah dan suaminya bukanlah perkara pokok untuk dibincangkan dan dihalusi oleh pembaca. Tidak sewajarnya buat pembaca melebih-lebih terhadap sesuatu yang seakan ditempelkan pengarang sebagai pemanis cerita. Sebaliknya, permasalahan umat Islam yang lebih berat harus terlebih dahulu berlabuh di dermaga hati pembaca. Isu ajaran sesat yang melibatkan keluarga Sumaiyah dan kegigihan watak utama meneruskan perjuangan arwah ayahnya sebagai usahawan kerepek yang berjaya harus benar-benar dihadam pembaca.  Tambahan lagi, pembaca turut sama perlu menghargai kesungguhan Zaid Akhtar menvariasikan illmu bantu dalam pelbagai aspek, dari kepesongan akidah hinggalah kepada garapan latar bumi Jordan secara realisitik, ilmu perniagaan  dan potongan tafsiran ayat Al-Quran untuk bermacam-macam situasi.

Pembaca haruslah bijak menafsir setiap bait-bait isu yang ditonjolkan pengarang dan bukan sekadar hanyut dengan rakit perasaan dan hakikatnya adalah tamat pembacaan dengan catatan ilmu yang nihil. Bukanlah bermakna tidak boleh ‘melayan perasaan’ atau beremosi ketika proses pembacaan namun janganlah kita terlalu menjulang sebahagian elemen yang kurang penting berbanding persoalan pokok atau sebenar yang mahu dibongkar oleh pengarang.

Sebagai pengarang tidak bermakna isu cinta bererti terlalu biasa dan tidak dibenarkan wujud dalam sesebuah karya. Cinta merupakan fitrah manusia dan pastinya tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan walaupun sejenak. Namun apa yang membezakan tahap kemapanan sesebuah karya adalah bagaimana cinta yang digarap disertai dengan sesuatu yang berupaya membina sahsiah dan ilmu pembaca. Pengarang tidak sepatutnya lari dari tanggungjawab sosial masing-masing untuk menjadikan karya sebagai satu wahana pendekatan moral. Isu cinta yang meleret tidak seharusnya dijadikan tema utama sebaliknya sekadar tempelan dan umpan untuk pembaca remaja menghabiskan pembacaan hingga ke noktah akhir. Sudah tiba masanya penulis keluar dari kotak kejumudan bolak-balik emosi yang kosong dan kembali kepada tanggungjawab mendidik masyarakat dengan sesuatu yang lebih bermakna menerusi pendekatan sosiologikal masing-masing.

This entry was posted on Saturday, November 14th, 2009 at 5:38 pm and is filed under Sastera. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

8 Responses to “Novel Islami: Cinta Bukan Peneraju”

Mohd Naiman Fahimy November 14th, 2009 at 9:06 pm

aku belum meniliti lagi komentari ni…tp kelihatan seperti terlalu emosional ja…apa yg berlaku ni shah????

Hazwan Ariff Hakimi November 15th, 2009 at 5:09 am

Shah, salam tahniah atas artikel yang menarik dan bermanfaat.

Saya fikir selain masyarakat umum, penulis juga harus lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan karya2 yang mendidik jiwa. Kalau menulis novel tu, persoalan cinta itu janganlah dilebih2kan.

Saya suka dengan pendekatan Abdul Latip Talib yang mengetengahkan sejarah sebagai persoalan utama. Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada sejarah sebenarnya, kalau betul2 diselongkar.

Islam itu syumul dan sangat luas. Banyak isu2 dalam Islam yang boleh diketengahkan dalam novel. Kalau Shah dalam proses menulis sebuah novel, jadikanlah pengalaman sebagai pelajar Muslim di UK sebagai salah satu ilmu bantu untuk novel tersebut.

Semoga berjaya!

Zayu Hisyam November 15th, 2009 at 7:04 pm

Ia sebagai alternatif kehendak pembaca. Tugas penulis dan penerbit memastikan karya yang dihasilkan itu bermanafaat untuk kumpulan sasaran mereka. Cinta itu luas dan indah.Jangan salahkan cinta. Terajulah cinta itu dengan sempurna dan berada dilandasan yang sewajarnya.

perantau_kamal November 16th, 2009 at 4:50 am

mengapa kita hanya hendak meniru segala stail cinta islamik yang ditonjolkan tapi kelihatan hambar bila mahu mencontohi trait positif watak yang sememangnya lebih diperlukan dalam memajukan umat?

zasss

Shahkang November 16th, 2009 at 11:37 am

@naimah: tiada apa yang emosional, sekadar kritikus sastera (bukan tikus ya)
@perantau: asyik zas ja
@zayu: ya cikgu, jangan sampai tersilap guna sudah lah
@hazwan: ya abang hazwan, suka benar cara garapan Pak Latip, Abg FT. InsyaAllah cuba menjadi seperti mereka tapi draf novel dalam kepala memang ada kaitan dengan cinta. Tapi sedang cuba diindahkan dengan ilmu bantu insyaAllah (rancangan je baru, tak buat pun lagi)

Nadia November 16th, 2009 at 9:01 pm

nice one. aku dah lame tak bace novel cinta melayu.. coz i have this preconception tht malay novels are full of recycled bits of no-brainer love stories.. kdg2 bukannya salah pembaca yg tak amek nilai2 selain drp cinta dlm novel melayu, tp penulis yg highlight bnda2 romantik, yg memakan dlm 80% novel, sampai nilai2 lain tak nampak signifikan.
geli hati bile dgr membe2 pompuan aku excited pasal love life si ini dan si itu dlm novel hape ntah.. aku pun berjanji kt diri aku, aku tak akan AKAN ever bace benda2 camni. lps bace ape yg hg tulis nie, terasa cam nak pulak try AAC.

diariungu November 29th, 2009 at 6:14 pm

Perlu garapan menarik untuk sesebuah novel. Cinta biarlah sebagai salah satu teknik sahaja. Macam FT dan banyak lagi penulis lain turut menggunakan pendekatan serupa. Gunakan pendekatan ini bila mahu sampaikan suatu isu berat. Tapi tidak semestinya juga. Lihat sahaja karya Azizi Abdullah. Tidak semuanya berkisar cinta. Cinta tengok pada tempat. Kakak cakap awal-awal lagi; takkan baca novel pop Islami. Muak sangat.

zaidakhtar December 16th, 2009 at 2:01 am

bagus tulisan tuan ni.
saya setuju.

Leave a Reply