Bengkel KEPEZI

Dalam jangka masa seminggu dua ini memang banyak urusan perlu saya selesaikan – program di Kulim, ambil Visa, siapkan surat tawaran, kenduri dan macam-macam lagi.

Itu belum lagi dihitung aktiviti penulisan, sememangnya bercambah tugasan yang menanti bila masuk bulan Ogos sebegini. Idea mula menguntum, entah dari mana jangan tanya.

Pembacaan? Saya berjaya menghabiskan dua buah buku dalam bas semalam (saya sudah mula membaca agak lama tapi menghabiskan dalam bas semalam, bukannya dua buah itu dibaca semuanya dalam bas). Buku yang menanti turut banyak dan saya baru meminjam novel Iman Markisa saya saya baca sekerat ketika di kolej dulu.

Banyak kerja ni….!

Apa-apa pun kali ini saya ingin berkongsi mengenai kisah bengkel penulisan yang saya sertai hujung minggu lalu:

Bengkel KEPEZI 3/2009
Tempat: Menara DBP, KL
Tarikh: 1 dan 2 Ogos 2009
Masa: 8.00 pagi – 5.30 petang
Jumlah peserta: 20

Kalau lihat tarikhnya sama dengan WOW dan BEE, jadi sebab itulah saya tidak ke mana-mana program ini kerana saya sudah lama mendaftar dengan KEPEZI.

Apa itu KEPEZI?

KEPEZI adalah singkatan kepada Kelab Penulis Zaharah Nawawi dan sudah pasti pembimbing atau guru untuk bengkel ini adalah Puan Zaharah Nawawi sendiri (Bonda). Bonda memang tidak asing lagi dan sudah banyak menggarap karya-karya bermutu dan antara yang saya tahu adalah Bulan dan Menati.

Selain itu bengkel ini juga dibimbing oleh Dr Mawar Shafie, seorang pensyarah dari UKM dan juga seorang penulis tersohor dalam dunia penulisan sastera Melayu. Boleh lawat blog peribadinya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pencapaian dan kerjayanya.

Aktiviti

Sesi ice-breaking dimulai dengan pengenalan diri masing-masing dan kagum juga dengan peserta-peserta lain yang sudah pun profesional dalam bidang masing-masing, seperti Kak Shima sebagai pensyarah, Kak Rebecca sebagai jurutera cari gali dan lain-lain.

Kemudian, pembimbing menceritakan sedikit mengenai asas penulisan cerpen menerusi slaid.

Setiap peserta yang hadir perlu mengantar cerpen masing-masing untuk dibedah dan dicincang oleh pembimbing dan peserta sendiri. Ada juga peserta yang tidak sempat menghantar cerpen kerana menyertai pada saat akhir setelah ada penarikan diri peserta lain.

Saya? Saya mempertaruhkan cerpen Suara-Suara Tiang dan saya siapkan kurang dalam masa seminggu (agak lama tu!)

Kritikan Demi Kritikan

Setiap peserta perlu membacakan cerpen sendiri menerusi mikrofon untuk diteliti oleh pembimbing dan peserta lain. Sebenarnya setiap peserta juga mendapat salinan cerpen semua peserta, jadi bukanlah mendengar sahaja tapi melihat juga.

Memang saya dapati banyak kelemahan yang perlu saya isi selepas ini dengan ilmu-ilmu dan perkongsian pengalaman dari rakan penulisan lain. Sangat banyak. Usia saya dalam bidang penulisan sastera yang genap setahun dua hari lepas sememangnya masih jauh untuk mencapai kematangan.

Kritikan terhadap cerpen saya

Isu yang dibawa sememangnya agak biasa dan saya memang akuinya. Namun kata Bonda, ada kelainan pada teknik yang saya guna. InsyaAllah saya cuba mengetengahkan isu yang lebih berat selepas ini.

(saya tidak dapat siarkan cerpen di sini kerana akan digunapakai untuk proses suntingan dan penghantaran ke media, insyaAllah)

Cerpen-cerpen lain juga menerima pelbagai kritikan (semua peserta juga saling mengkritik antara satu sama lain). Apa yang menyeronokkan adalah kritikan yang dilakukan adalah secara terus terang dan tiada berselindung. Saya fikir ini memang cara pembelajaran yang sangat berkesan kerana kita mampu menghidu di mana kesilapan yang sering kita lakukan. Tidaklah selepas ini nak syok sendiri sahaja tanpa mengetahui yang cerpen kita itu sebenarnya masih banyak perlu ditambah dari segi nilai, estetika dan sebagainya.

Fakta-fakta lain:

1) Saya merupakan peserta yang kedua termuda daripada 20 orang peserta itu! Yang termuda adalah Nuraini @ Tyoiba Mursyiddah yang muda setaun dari saya

2) Sejuk! Sememangnya dewan kuliah itu sejuk yang amat dan ramai juga yang membawa jaket

3) Tempat duduk saya bersebelah dengan kak Norazimah yang sedang dalam peringkat pengajian PHD kalau tak salah saya.

4) Jadi tourist guide – cikgu Ali dari Sarawak menggelarkan saya ini kerana saya menunjukkannya jalan untuk ke stesen LRT berdekatan. Saya kagum dengan semangatnya yang sanggup terbang dari Sarawak untuk mencari ilmu sastera di KL

5) Ada jualan kecil-kecilan di hadapan dewan kuliah dan kebanyakkannya buku Bonda sendiri, saya tidak membawa wang yang cukup jadi tidak membeli apa-apa

6) Makanan yang disediakan pihak DBP sedap sekali, terutama makan tengah hari. Tapi saya makan sedikit sahaja.

7) Bila saya tengok kad pengenalan dalam dokumen penyertaan – ramai peserta yang lahir pada tahun 1972! Kebetulan?

8) Ahli GKLN lain yang bersama saya adalah Kak Hazwani @ Rebecca (orang kuat GKLN di samping abg Fahd).

9) Afiq, seorang penuntut UKM menyangkakan saya lebih tua daripadanya. Akhir sekali baru terbongkar yang dia lahir pada 1988 dan saya 1989, makanya dia tua setahun!

10) Peserta lelaki hanya ada 5 orang – saya, Afia, pakcik Zakaria (editor di sebuah syarikat), cikgu Ali dan cikgu Wan

11) Secara peribadi, saya menyukai cerpen hasil karya kak Najibah

Sedikit gambar:

kpz3
Sebahagian peserta –
Dari kiri: Sarimah, Dil Froz (terlindung), Zuraima, Nuraini, Soo Cham dan Afiq

(maaf dalam gambar saya tidak meletakkan gelaran Puan, Cik, Kak, Abg atau apa-apa, kerana tidak tahu mana satu yang sesuai)

kpz4
Pembimbing – Bonda Zaharah (kiri) dan Dr Mawar mendengar ulasan dari peserta

kpz1
Bergambar sebentar semasa rehat

kpz2
Bergambar sebelum pulang

Atas dari kiri: Shahkang, Ali, Zakaria, Wanzayu, Afiq, Najibab, Juwairiah
Tengah dari kiri: Zuraima, Kasmahwali, Aisyah, Saadah, Hani Salwah, Soocham, Sarimah
Bawah dari kiri: Nuraini, Norazimah, Dil Froz, Bonda Zaharah, NazatulShima, Dr Mawar

Yang mengambil gambar ini adalah kak Hasnah

(maaf sekali lagi tiada panggilan Pn/Tn/Cik/Kak/Abg untuk peserta, takut tersilap letak :D ..)

Terima kasih kepada semua peserta dan pembimbing atas perkongsian ilmu. Semoga bertemu lagi di program sastera yang lain.

InsyaAllah dari masa ke masa saya akan kemas kini laman blog peserta KEPEZI ini di sidebar

Semua gambar diambil dari kak Norazimah. Terima kasih kerana menghantar kepada saya

MASA UNTUK TERUS MENULIS SEBAGAI MEDAN DAKWAH!

This entry was posted on Thursday, August 6th, 2009 at 12:27 pm and is filed under Event. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

3 Responses to “Bengkel KEPEZI”

dato' h August 6th, 2009 at 9:57 pm

mantap shah…
gile la g prog2 gini…

erni bidin August 9th, 2009 at 7:22 pm

wah..aku bangga ngan ko..mantap la..harap2 ko bleh jadi penulis berjaya nanti…insyaAllah.

Shahkang August 10th, 2009 at 12:32 am

hm, dah minat ke arah benda mcm ni..
setiap orang ada minat dan cabang masing-masing.

InsyaAllah Erni

Leave a Reply