IB: Satu Pengalaman
Saat saya menitipkan kata pertama di hamparan kosong ini, terus lega. Mengapa? Akhirnya saya punya masa untuk menulis. Terhimpit di sebalik Matrix Composite, Filament Winding dan wajah pensyarah-pensyarah Manufacturing membuatkan tangan kaku. Minda bagai terikat tanpa boleh mengembara.
Seksa. Peperiksaan sememangnya menjerut leher seorang penulis. Lemas dan aku hampir mati! Namun alhamdulilah, Allah mengurniakan masa senggang sedikit selepas bertapa selama lebih tujuh jam di bangunan sekolah saya. Harapnya dapat digarap sebaik-baiknya segala kata meskipun keroncong perut mulai merdu.
Baik. Sekarang beralih kepada agenda sebenar penulisan ini.
(Jeda. Aku tak tahu bagaimana hendak bermula! Ah!)
Pengenalan
Semenjak keputusan biasiswa MARA diumumkan seminggu/dua yang lepas, saya dihujani pelbagai soalan lazim daripada pembaca blog. Bukan bermaksud saya dikenali ramai atau mempunyai fan page ataupun mempunyai gambar tepi kolam renang semacam artis-artis, sebabnya adalah blog saya (Norshah.com) mempunyai capaian kepada kata carian seperti “IB di Kolej MARA Banting”, atau “International Baccalaurate MARA” atau “Apa beza IB dan A-level” atau “IB susah atau tidak” atau “Wei orang cakap IB tu membunuh orang”
Okay, sedikit melebih-lebih di situ.
Pendek kata, pelajar-pelajar baru yang akan mendaftarkan di KMB tidak lama lagi mencari-cari komentar atau reviu tentang KMB dan IB. Dan sudah bermacam-macam komentar didengar mereka, saya pasti. Ratusan pelajar-pelajar senior pastinya sudah menjelaskan banyak perkara kepada golongan ini.
Justeru saya terasa terpanggil untuk memberi komentar saya sendiri. Mungkin berbeza. Mungkin bersifat klise dan serupa dengan apa yang selalu diwar-warkan bekas pelajar ataupun kononnya diberi gelaran IB Survivor. (Aku pun tak tahu apa yang survivor? Mungkin survive daripada gigitan arnab yang banyak di ladang Bio-D)
Pendahuluan
(kat atas tu bukan dah ada Pengenalan ke? Hmm abaikan sub-title ini)
Sebelum saya menulis pandangan ini, saya mahu bebaskan minda pembaca sekalian daripada tanggapan “Shahkang kena bayar dengan KMB atau IB centre kot untuk tulis macam ni”. Atau mungkin “Semua ni politik semata-mata”. Atau mungkin “Shahkang dapat upah makan DS KMB percuma untuk beberapa bulan.
Tidak sama sekali.
Saya tulis dengan nada yang jujur dan tanpa selindung. Namun, saya tidak berhajat untuk membuatkan pembaca semua bersetuju dengan apa yang cuba saya sampaikan. Saya tahu pandangan ini akan mengakibatkan sebahagian pembaca merasakan ‘Poyo gila statement” atau “Menipu saja ni”
Apa-apa pun, anda boleh menulis artikel sendiri untuk menjawab tulisan ini jika tidak bersetuju. Tak perlu beremosi.
IB Banyak Membantu?
Terus terang mahu dikatakan, IB sangat banyak mempengaruhi hidup saya. Dari segi pengalaman, jangan dicakap. Terlalu berlungguk dan melimpah ruah sampai ke ladang gandum. Walaupun ada sahabat handai mengatakan kehidupan mereka di SBP atau MRSM sebagai sesuatu yang sangat berharga, pada saya tidak. Pengaruh besar dalam hidup saya yang telah melepasi angka 22 tahun adalah ketika menjadi seorang pelajar International Baccalaureate (IB) di Kolej MARA Banting, Selangor. (Secara tiba-tiba aku menulisnya dengan penuh).
Saya tujukan hasil tulisan ini kepada sahabat handai yang mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian IB di KMB. Terpulang kepada anda untuk bersetuju dengannya atau tidak. saya bukan bersifat mahu memancing anda untuk memasuki KMB. Saya tidak mendapat sebarang sen pun jika anda hadir di concourse KMB akhir Jun depan untuk pendaftaran. Segala hujah dan ulasan yang cuba disampaikan adalah pandangan peribadi dan ianya berbeda mengikut individu masing-masing. Biasalah tu. Justeru, terpulang kepada anda semua untuk membuat pilihan.
Saya rasakan, lebih elok saya membahagikan idea penulisannya ini kepada beberapa sub-bahagian bagi membolehkan kalian semua memahami dengan sempurna, insyaAllah:
Penulisan Akademik
Ada beberapa kisah saya yang membuatkan saya termenung sejenak lalu berfikir – mungkinkah ini hasil perit jerih memerah keringat untuk menyiapkan lab report (seminggu dalam sekali atau dua kali) pada hujung minggu. Mungkin ini kesannya menghempuk meja kerna tersangkut semasa menulis esei TOK. Atau mungkin ini kebaikan daripada berkunjung ke perpustakaan berpuluh-puluh kali menyiapkan Extended Essay.
Saya akan pilih satu kisah semasa di Manchester:
Setiap pelajar di dalam department saya di Manchester diberi kumpulan kecil-kecilan yang diketuai oleh seorang pensyarah yang bertindak sebagai ‘tutor’. Pendek kata, ianya serupa dengan konsep homeroom jika di MRSM atau mentor menti di mana-mana sekolah.
Suatu hari kami berkumpul seperti biasa untuk perjumpaan mingguan. Sejurus berkumpul:
“Baik Shah. Ceritakan kepada mereka (teman sekumpulan) cara nak menulis report ini”
Saya terkejut dengan tindakan tutor saya. Secara tiba-tiba menyuruh saya yang sememangnya bengong dalam Bahasa Inggeris untuk menceritakan kepada pelajar-pelajar lain berkenaan cara menulis reflection report (ianya salah satu daripada assignment). Bagus sangatkah report saya? Sedangkan IELTS Writing saya cuma 5.5 dalam writing dan GCE-O SPM saya cuma pada gred C. Sesuatu yang mengarut sedang berlaku.
Saya pun cuba menerangkan sedaya yang mungkin. Minda saya tidak terlepas daripada berfikir “Orang lain tak reti buat report kah?”. Apa kelebihan report aku berbanding orang lain? Baru saya sedar selama ini saya memang telah diajar dengan baik untuk menulis reflection report ketika menuntut di KMB.
Sepanjang kehidupan IB, memang pelajar banyak disumbatkan dengan report. Report report report report (sila gandakan sebanyak mana yang anda suka). Lab report, CAS report dan bermacam-macam lagi. Sedar atau tidak, segala laporan ini secara tidak sedar membantu anda menjadi seorang pelapor atau penulis report yang baik. Saya dapat lihat, sahabat-sahabat lain yang sebelum ini tidak terlalu didedahkan dengan penulisan laporan agak terpinga-pinga-pinga. Tidak biasa dan tidak pernah dibuat sebelum ini. Itu apa yang dikatakan mereka
Oh ya, jangan fikir saya cuba mengatakan “Budak A-lvl tak reti tulis report“ atau “Tu la sapa suruh hangpa tak amik Ib, kan ke dah tak reti tulis report” atau “Hanya Shahkang yang bijak menulis report dan orang lain hanya pandai mengunyah gula-gula getah”. Itu bukanlah matlamat penulisan ini. Saya sekadar menceritakan bagaimana IB membantu saya melancarkan gerak kerja dalam penulisan akademik.
Kisah lain yang saya rasa banyak dibantu pengalaman semasa IB adalah: Mendapat 97.5% dalam lab report Thermo, menulis abstract dengan baik untuk setiap kali lab report (fluids, structure), bagaimana membuat research dengan baik dan sebagainya.
Meskipun pengalaman menyambut berpuluh assignment semasa IB agak memeritkan jiwa dan raga namun hasilnya sangat dirasai ketika berada di gelanggang universiti.
Subjek Malay A1
Hal ini mungkin dirasai saya seorang. Saya terhutang budi kepada semua guru Malay A1 di KMB kerna di sinilah minat saya sebagai seorang penulis mula mekar dengan jayanya.
Seingat saya, pertama kali saya tergerak hati menjadi seorang penulis adalah ketika bertemu abang Rahimidin Zahari dan Faisal Tehrani ketika bengkel Malay A1 (EE) di Port Dickson, penghujung Julai 2008. Sejurus selepas itu saya bergerak dengan Grup karyawan Luar Negara hasil kelolaan Fahd Razy (juga bekas KMB) dan sangat bersyukur apabila tika ini agak banyak karya-karya saya yang sudah disiarkan di media, dideklamasi, serta digunapakai untuk pembelajaran dalam kelas. Minat saya terhadap sastera berkembang pesat.
Semuanya, bermula dari penat lelah guru-guru KMB. Jika tidak, saya mungkin tidak mengecapi nikmat menelaah karya Usman Awang, Naguib Mahfouz dan Fitzgerald. Saya tidak akan pernah tahu bahawa sastera adalah ilmu paling intim dengan diri saya jika saya berkata ‘tidak’ untuk mendaftarkan diri di KMB suatu masa dahulu.
Kumpulan saya di Kem Sastera 2008 – Port Dickson
Theory of Knowledge (TOK)
Subjek yang paling sampah dan tidak disukai ketika di KMB (sorry Miss Tik, I’ve to admit this).Saya pernah ‘mengaku’ bahawa esei TOK dan perbentangan TOK merupakan assignment paling sukar saya alami di KMB dan sampai tahap nak menangis bila cuba nak menyiapkannya. Terketar-ketar. Apabila tiba sewaktu kelas TOK, bosan. Saya merasakan subjek ini tiada manfaat. Menyusahkan. Memualkan. Meloyakan.
Namun sedang hidup di UK selama lebih dua tahun, saya mula menghargai apa yang diajarkan. Setelah banyak berkecimpung dengan hal ehwal masyarakat Malaysia di Manchester, bergaul dengan pelajar-pelajar antarabangsa dan sebagainya, barulah menyedari TOK sangat memainkan peranan yang mustahak. Bagaimana cara berfikir, bagaimana berhadapan dengan manusia berlainan budaya, bagaimana menyelesaikan masalah sebagai seorang ‘ahli politik’ di Manchester.
Menariknya, saya pernah berkata kepada Miss Tik setelah tamat tahun pertama di Manchester:
“Cikgu, saya mula menghargai kepentingan TOK dalam kehidupan”
Balasnya “Alhamdulilah la kalau dah dapat hidayah”
Betul!
Pengurusan Masa
Timbunan kerja beserta komitmen lain semasa menjadi pelajar IB membuatkan anda dipaksa menjadi seorang pengurus masa yang bijak. Saya tidak menolak hujah jika ada berpendapat bahawa keberjayaan seseorang pelajar KMB bergantung kepada kaedah pengurusan masanya. Saya amat bersetuju.
Semasa di KMB saya gemar mencari fasal dengan melibatkan diri dengan sebanyak mana kegiatan yang boleh. Program Fish For Life, perarakan kemerdekaan, External CAS di PDK, kem motivasi sekolah-sekolah di Kedah dan banyak lagi.
Sibuk dengan aktiviti kokurikulum. Pada masa yang sama, assignment perlu disiapkan. Bagaimana? Tidak ada cara lain melainkan memaksimumkan penggunaan masa hari-hari dan tidak selalu membuang masa. Sememangnya satu latihan padu dalam menguruskan dirinya.
Hasilnya, kini saya terasa biasa dengan menguruskan masa. Walaupun kehidupan di universiti agak relaks, namun saya sendiri sibuk sebagai presiden Malaysian Community of Old Trafford (MCOT) di samping kerja-kerja penulisan sastera yang tidak akan lupus. Begitulah. Belajar-bekerja sebagai presiden-menulis-berehat – semuanya memerlukan pengurusan masa yang teliti. Alhamdulilah, semua itu saya perolehi ketika menjadi seorang pelajar IB di KMB.
Saya tidak mahu mengatakan bahawa saya ’sudah berjaya menguruskan masa’. Saya masih manusia lemah yang kerap kali tersangkut dalam menguruskan hal-hal MCOT dan kadang kala lewat menyiapkan karya-karya (semuanya disebabkan banyak melepak, makan, minum, berbasikal dan bergolek-golek tanpa sebab atas katil). Apa yang mahu saya tekankan di sini adalah bagaimana pengajaran dalam IB telah mampu membuka mata saya dan berkata “Hye, tugasmu masih banyak! Uruskan la masa tu betul-betul!”
Jika tidak kerana IB, mungkin saya telah larut dengan pengurusan masa yang lebih TERUK daripada sekarang!
Aktiviti CAS
Jika ditanya apakah elemen paling berharga yang dipunyai Ib – saya akan jawab CAS (Creative Action dan Service). Saya malas dan tidak layak untuk bercerita tentang apakah maksud CAS itu. Biarlah anda sendiri mencari. Saya hanya mahu
Seingat saya, saya telah melakukan CAS Hours lebih daripada 700 jam. Banyak. Saya memang tak jemu melakukan malah seronok. Sangat banyak sekolah dan pusat kebajikan yang telah saya kunjungi.
Pada saya, pengalaman sebegini amatlah tinggi harganya. Tidak dapat dipunyai di mana-mana. Melalui program CAS inilah membuatkan saya lebih dekat dan suka bergaul dengan masyarakat. Membuatkan saya senang berdampingan dengan pelbagai lapisan usia. Ya, anda sebagai pelajar perubatan sangat memerlukan pengalaman sebegini! Tambahan kalau temuduga untuk memasuki universiti, sudah semestinya pengalaman sebegini sedikit sebanyak akan membantu anda.
Dan CAS juga membuatkan saya mahu bekerja dengan persatuan kebajikan pelajar seperti MCOT. Di mana dalam MCOT, saya sangat banyak belajar untuk menguruskan masyarakat dan diri sendiri. Natijahnya, pengalaman yang dikutip menguntung diri sendiri walaupun terpaksa berpeluh-peluh melakukan aktiviti kemasyarakatan.
Berikut merupakan sedikit gambar mengenai projek-projek CAS dan aktiviti lain yang pernah dilakukan:
Team Fish For Life 2 di Yogyakarta
Pertandingan memasak sempena MPI
Menjadi sukarelawan pertandingan ragbi IPMA. Bersama saya adalah Ibnu (kanan)
Menjadi ketua kontinjen KMB semasa perarakan hari kebangsaan di Dengkil (ini adalah sahabat saya bernama Mon)
PDK Teluk Panglima Garang. Selama setahun berkunjung ke sini setiap 2 minggu.
Negatifnya tentang IB di KMB?
Usah dicakap. Saya rasa sememangnya beratus-ratus komen negatif akan diberikan jika ditanya tentang “IB tu susah dak”. “Bes tak hidup di KMB?” dan sebagainya. Saya akui memang banyak kekurangan yang akan membuatkan anda merasakan “Ah, nak balik!” “Wa nak tengok arnab kat rumah”. Saya jamin anda tidak akan terlepas daripada kata-kata sebegini. Saya juga disogok dengan komentar semacam ini ketika mula melangkah ke KMB kira-kira empat tahun lalu (abang saya merupakan bekas pelajar KMB jadi banyaklah komentar-komentar).
Saya sendiri pernah cemburu dengan sahabat-sahabat lain di Taylor’s atau INTEC. Mereka begitu bebas. Macam hidup univerisiti. Kehidupan A-level mereka sangat mendamaikan perasaan. Kata mereka, lepak. Boleh main futsal hari-hari. Makan sedap-sedap. Hidup macam orang dewasa etc. Tidak seperti KMB yang jauh dari orang ramai, IB yang sukar dan sebagainya. Ah, itu kata orang! Bagi saya, tidaklah terlalu perit seperti mana yang diwar-warkan.
Pada pandangan saya semua itu biasa. Pengorbanan harus dilalui dengan tabah bagi mengejar hasil yang cukup bermakna. Memang perit untuk menghadapi kehidupan IB, namun pada akhirnya anda akan mendapat keuntungan dan manfaatnya. Yang membezakan sesama pelajar KMB adalah, “Bagaimana anda bijak menggunakan kehidupan sebagai seorang pelajar IB”. Yang menjadikannya anda tidak seronok dan tertekan adalah kerna tidak bijak untuk menggunakan kelebihan-kelebihan yang telah Allah kurniakan kepada anda.
Jika kita asyik mengomel tentang “Ala, tak besnya”, atau “Ala, bosannya“, menunjukkan bahawa kita tidak bersyukur dengan nikmat Allah. Fikir-fikirkanlah sahabat handai anda yang tidak berpeluang langsung untuk menyertai program IB. Atau setidak-tidaknya mendapat tajaan ke luar/dalam negara. Atau mungkin untuk mendapat keputusan SPM yang cemerlang.
Bukankah kita patut bersyukur? Patut!
Pendek kata, tiada apa-apa yang negatif sangat pun. Cuma persepsi. Positifnya lebih banyak – guru yang berkaliber, makan sedap, cafe ada, facilities ada, kehidupan dengan kawan-kawan akan lebih akrab, aktiviti yang anda takkan jumpa di mana-mana pusat persediaan luar negara yang lain dan sebagainya. Cuba ubah paradigma pemikiran kepada yang lebih positif!
Saya selalu menganggap orang yang mengeluh dengan ujian IB sebagai tidak layak untuk bekerja sebagai seorang profesional (saya pun pernah mengeluh jadi saya pun sebenarnya BELUM layak untuk menjadi seorang profesional). Mereka lebih suka hidup dalam comfort zone i.e. menonton wayang berjam-jam, bermain boling bersama pasangan, kehidupan yang damai, lepak mamak dan sebagainya. Golongan sebegini sememangnya tidak sedar akan realiti alam dewasa yang sememangnya mencabar dan memerlukan banyak komitmen. Kritikan ini juga kepada diri saya sendiri yang gemar menonton video Youtube . Huhu.
Cuba tanya kepada diri anda sendiri – jika anda tidak tahan menjalani ujian IB ini, bagaimana mahu menjadi seorang doktor/jurutera yang sememangnya akan amat sibuk sewaktu bekerja? Fikirkan.
Akhir Kata
InsyaAllah. Bagi pihak saya, saya merasakan pengalaman sepanjang menjadi seorang pelajar IB adalah sesuatu yang cukup bermakna dan terpahat setia di dalam hati. Buatlah pilihan dengan wajar dan jangan terlalu terpengaruh dengan komentar-komentar senior termasuk saya. Anda mampu membuat pilihan dengan bijak. Paling mustahak, jangan lupa beristikarah kepadaNya dan memohon doa akan segala keputusan yang kalian lakukan adalah terbaik untuk diri kalian sendiri.
Jadilah dewasa. Usah manja dengan segala kesenangan hidup dan kemudian mahu berjaya. Kejayaan dan pengalaman tidak ternilai tidak bertandang tanpa kesabaran!
Sekian dulu, semoga perkongsian pendek ini bermanfaat buat semua. Maaf atas keterlanjuran bahasa dan kata yang mungkin menggores hati sesiapa.
Nota: Penulis adalah bekas pelajar IB di Kolej MARA Banting dari tahun 2007 hingga 2009. Kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di Manchester.
This entry was posted on Thursday, May 26th, 2011 at 12:24 am and is filed under Catatan Harian. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.










Mon May 26th, 2011 at 5:47 am
aku tgh ternganga shah… T.T btw, isi mantap…baca xboring..