Manchester Yang Aku Meluat
Oh, pagi ahad yang murni akan ku habiskan mengarang entri yang kononnya sarat dengan emosi ini.
Walaupun Manchester dihebahkan sampai ke pelusuk Russia atau mungkin ke kepulauan Seychelles, berkenaan gahnya sebagai pusat makanan halal. Cakap sahaja apa yang mahu ditelan – dari nasi Afganistan sampai ke manisan Turki. Atau mungkin hirisan donner yang memukau dengan harga yang secalit. Atau menu 1 pound yang perlu dibeli dua set untuk memuaskan gelora lapar.
Ya, ku akui kehebatanmu Manchester. Ah, mana lagi mahu mencari selonggok makanan kalau bukan di sini?
Ku akui!
Tapi sejujurnya aku meluat denganmu, Manchester. Dengan hiruk pikuk kemanusiaan yang berbagai. Mungkin aku sahaja terlibat dengan gelojak perasaan yang bingit ini. Tanyalah siapa senior pun mungkin tidak rasai.
Hebat, baru setahun. Aku yang kerdil dan usia belum dicantas waktu ini sudah dapat merasai.
Aku terkecil hati atau tersakit hati dengan seseorang? Mungkin.
Tapi kenapa? Atau mungkin aku berkecil hati dengan gerombolan itik di Plat Field. Oh, kau pun tahu! Mereka gemar mengejar manusia dan maka bertempiaranlah kita berlari. Walaupun terdapat anak itik sebagai pengubat sengsara tapi percayalah fenomena itu akan sirna. Anak itik akan berubah menjadi itik dewasa. Yang dahulu berkodek laju dan ekor ke kiri-kanan-kiri-kanan-kiri-kanan-kiri-kanan (ulang seberapa banyak anda mahu) kini sudah lembab. Hanya berkuek-kuek mencari makanan dan menyelam kepala mencari entah apa di dasar tasik (oh, aku mengesyakinya mencari remote control Astro yang tenggelam. Mustahil, apakah kalian di Plat Field menonton Astro?)
Begitu juga manusia, yang berubah semacam selut di pantai. Hanya berpandukan air yang pasang atau surut.
Apakah sebenarnya aku ini benci akan perilaku manusia? Aku tidak pasti.
Perilaku yang macam mana kubenci?
Ini sudah macam prolog novel. Yang sebenarnya aku memang tidak berapa gemar hidup di Manchester. Ya, aku rasa aku seorang sahaja tergedik-gedik melaungkan seruan ini. Ops, junior janganlah khuatir! Di Manchester semuanya sihat-sihat belaka. Cuma aku. Ya aku – Shahkang yang sedikit meluat dan keras dengan Manchester. Sebabnya mungkin agak kompleks dan bersifat peribadi. Buat masa ini, tanamlah dalam hati yang aku bermusuh dengan itik Plat Field.
dan bagaimana akan ku rempuhi perjalanan lagi tiga tahun? Semoga Allah membantuku. Kepada Dia aku berserah dan kepadaNya aku meminta pertolongan.
Yang sebenarnya (bila mahu habis keluhan jiwa yang kasar ini?), aku mahu menitipkan gambar-gambar perjalananku ‘lari dari Manchester’. Wah kononnya aku merajuk denganmu,Manchester. Pergilah dirimu dengan Old Trafford, merpati gemuk di Piccadily Garden, makcik operator di Piccadily Station (yang sering berkata – This is a no smoking station dan bermacam lagi), para pencari rezeki di Market Street dengan wajah yang disimbah ketidaktahuan oleh pengunjung (aku kasihankan kalian! Tapi rezeki perlu dicari, bukan?).
Koleksi gambar-gambar Melarikan Diri dari Manchester (MDDM)
Aku benar-benar merajuk dengan kekasihku, Manchester. Dan ini merupakan percakapanku kepadanya.
Aku bercinta dengan Manchester? Oh, mungkin dengan Metrolink tram atau Jenny the Merpati (nama yang baru diberi, sila abaikan))

York. Kujejak selama sejam dalam pengembaraan sehari ke Edinburgh. Tenang pada pagi ahad yang dingin bersama gerimis pagi yang berderai. Seperti mana berderainya hatiku, oh Manchester. Kau sememangnya menarah luka lama

Perjalanan pantai timur Great Britain menuju ke utara – ke Edinburgh Waverley station. Pantai yang memukau sambil silih pandangan bertukar dengan kelajuan East Coast train yang deras, seakan mencemburui. Oh Manchester, sepertinya cinta kita termeterai dan terburai pada pagi ahad ini

Kota Edinburgh. Gerimis bagai air mata berjurai dan berlinangan. Manchester, kau pun tahu aku sanggup lari darimu beratus baru demi mencari kesempurnaan dan keserasian

Dapatkah kau lihat, Manchester. Liverpool punya menara radio yang menegur langit. Tapi dikau, ah mungkin kau membalas dengan adanya Hilton, salah satu bangunan tertinggi di UK di pundakmu.

Liverpool – berhampiran Albert Dock. Kedamaian yang serasi bersama ikan yang mungkin berlapar di bawah permukaan air sana. Tidakkah kau tahu, Manchester. Kuhadir di sini sekadar mencari ilham. Bukan maksud meninggalkanmu.

Abbey Road. Tempat letaknya studio The Beatles – aku bersama Syafiq di London . Manchester, mungkin kau berkeras denganku. “Ah, aku juga punya Abbey Road!”.Benar, ku akui dan sudah-sudahlah membasah lidahmu dengan hujah. Tapi sayang, Abbey Roadmu itu hanya lewat poster yang dijual di Renold Building. Sayang sekali, tidak sama dengan realiti. Bukan?

Regent’s Park – London. Kulihat mekar kuntum itu bagai dirimu Manchester. Ah, persetankan segala ilusi indahku kerna kau mana mungkin sama dengan kuntum yang segar. Kau telah dinodai dengan semacam dua karat manusia!

Big Ben – London. Di atas jambatan menghadap London Eye. Oh lupa kau juga punyai Eye of Manchester!

Stesen keretapi London Waterloo – aku terus dalam kerudung merajuk. Ingin kubawa tubuh jauh ke selatan – ke Southampton. Meninggalkanmu berkerut seorang di North-West. Pergilah – bersahabat dengan temanmu Leeds, atau Sheffield (pastinya kau perlu mendaki bukit Peak District! Oh, jalan serupa ular yang pasti ditemani muntah-muntah anak kecilmu, Manchester!)

Di atas feri di jeti Southampton. Kau tahu Manchester, kau gagal dalam memenuhi cintaku pada sebuah lautan.

Terima kasih Azmirul (sahabat lama, E07A). Kuhantar senyum lewat gambar ini, Manchester. Bukankah dikau berasa jelik kerna aku jarang tersenyum padamu. Lewat dinginmu yang meratah tulang-temulang dan hangat musim panasmu yang memijar.

Isle of Wight – di selatan England. Benar, Manchester. Aku sedaya upaya melarikan diri paling selatan yang mungkin. Kalau bisa aku terokai sebuah kapal dan berlayar ke Spain. Agar kujauh darimu.

Menyewa basikal dan mengayuh di Isle of Wight – pasti dirimu kini terkapai meronta – “Aku juga punya laluan basikal. Nah, kau mahu dari Rusholme ke BBC? Atau Longsight nun sampai ke Burnage? Ah, shahkang! Kau pasti tergiur menanti laluan landai ke Wilmslow!”

Menaiki bukit. Azmirul sarat dengan penat. Malah aku juga. Manchester, saat ini kuterbayang tanah ratamu yang memikat. Benar, dirimu bukan berbukit seperti Sheffield atau Bristol. Tapi, kita tidak mungkin bercinta lagi.

Denai senyap-sunyi. Serupa hutan Malaysia. Manchester, mahu kau cari denai sebegini di Trafford Industrial Park. Ada? Pastinya kau terkumat-kamit menjawab persoalan ini!

Menanti chain ferry untuk menyeberangi ke Cowes di Isle of Wight. Pakcik berbaju biru ini atau dikenali sebagai _______ (letak nama anda sendiri) bukanlah sebahagian daripada rombonganku dan Azmirul. Manchester, mungkin kau boleh sediakan cinta kita di atas chain ferry? Menyeberangi tasik di Plat Field atau sungai selebar satu bas di tepian Old Trafford?

Hyde Park - London. Maaf mataku memang terkatup bila membuka cermin mata. Hm, jika tidak dibuka nanti silau dan meracau pula. Manchester, kau renungilah seluas tasik damai ini. Bagai cinta yang terbias sampai terkena langit. Dan kita terkadang kedua-dua di tengahnya

Ruang pelajar di Imperial College – beramah mesra bersama sofa empuk dan kekalutan pelajar. Ya aku terdengar suaramu bersipongang “Sofa empuk, kau boleh lihat di Renold. Kalut? Lihat sahaja pada hari Rabu di OXford Road. Bukankah pelajar University of Manchester bercicit-cicit berjalan memburu bas atau tiket konsert?”

London Bridge – kini saya bersama Syafiq dan rombongan cikgu Azizah dari Malaysia dan Bristol. Syafiq menjadi penunjuk jalan kepada kami semua. Kau tentu tewas, Manchester. Kau tidak punya jambatan terbelah terangkat sedemikian. Tapi ya kau punya jambatan biru yang boleh diangkat keseluruhannya di Salford Quays.

London Euston – stesen tren untuk perjalanan menuju ke utara. Selaluku dengar menerusi corong stesen Piccadily – makcik Jenab kupanggil. “This 12 01 Virgin Train service to London Euston“. Benar, Manchester. Kau sendiri menggamitku untuk mencuba ke London Euston. Dan kini aku terpacak gah pada pagi yang mulia bersama deru angin London yang senyap.

Saat terakhir. Kupandang wajah kamarku selama 9 bulan. Oh, pernah seorang senior menegur katanya aku baru 9 bulan sedangkan dia dua tahun. Benar, kak. Memori yang terbungkam dalam kamar kecil itu terlalu banyak. Manchester, saat cinta kita bermula di situ. Dan kini aku meninggalkan memori kusam itu. Pandailah kau menggilapnya!

Manchester Airport – aku akan bergenang dalam angkasa biru itu. Di sinilah kau dan aku bertemu saat pertama, 30 Ramadhan. Dan aku bergelut dengan bagasi yang lewat dan puasa melebihi 12 jam yang pernah kali kucuba.

Dubai – aku jauh darimu. 7 jam perjalanan sebelum 7 jam lagi untuk tiba di tanah air. Manchester, kau tahu nikmatnya musim panas. Nikmatilah sendiri tanpaku!

Lapangan terbang Dubai – aku, Sabirin, Akeed dan Najmi memburu malam bersama wap panas yang menggila-royan. Lapangan terbang ini besar darimu, Manchester. Sudah-sudahlah kau mencari sari dan isi untuk kau menggahkan semula namamu di hatiku.

Malaysia – aku mengembara ke KMB. Mencari diriku yang selama ini hilang.
This entry was posted on Sunday, July 11th, 2010 at 10:54 am and is filed under Perjalanan Jauh. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.




erni bidin July 11th, 2010 at 12:54 pm
hai, awai nye hang da bosan ngan manchester. aku agree la ngan ko. bosan weh manchester.
anyway, platt field banyak tahi. x suka. x lawa lak tu.