Musang dan Kapal Terbang

Sejujurnya saya berasa lumpuh, melihat suatu entri yang disulam dan dibenangi berjam-jam tidak mendapat respon yang memuaskan. Pelik juga. Sesetengah berjumpaku di kaki lima bercakap mengenai laman blog tapi melihat bilangan komen. Sesaga cuma. Semacam blog ini serupa sampah yang orang hanya tegur atas sebab “Adakah ini sampah atau plastik album Lady Gagi bertajuk Percintaan Jahat?”. Usai dia ketahui ianya sampah, maka ditinggalkan atau mungkin disepak sampah tersebut ke tepi sedikit kerana mengacau lalu lintas.

Jadi, blog ini adalah sampah semata-mata?

Terpulang. Saya tidak mempunyai banyak followers seperti kebanyakan penulis. Mungkin kerna fikrah yang dibawa agak kabur. Kalau berdasarkan bengkel lepas, saya dicop sebagai seorang yang suka menggunakan perlambangan.

Ya benar, dalam kehidupanku penuh perlambangan yang penuh misteri. Seperti musang  Yang perlu saraf berpintal dan bermain-main dengan logik sebelum menentukan apakah maksud sebenar.

Marilah dengarkan kisah mengenai musang dan sebuah kapal terbang.Lupakan hal symbolism yang mungkin menjerat leher atau leher hamster anda, walaupun saya agak ragu-ragu dan celaru sama ada hamster mempunyai leher atau tidak kerana seakan kepalanya bercantum dengan badan terus.

Kapal Terbang

Mungkin anda pernah membaca kisah saya melawat lapangan terbang. Ya untuk menonton kapal terbang sambil berhirup sejuk udara yang memuput. Bersama mat salleh yang lain yang kupanggil – Razak, Sameon (Bukan Zaiton Sameon) dan Torres.

Tidak perlu diceritakan panjang mengenai lawatan tersebut. Kerna sudah pun terungkap dan diperikan kisahnya pada beberapa post yang lepas (bila tengok balik jumlah post yang ditulis kebanyakan ini, barulah saya tahu yang saya sememangnya lembab seperti arnab yang diam di dalam lubangnya)

Dikhabarkan, saya telah melaksanakan satu perbelanjaan terbodoh untuk Mei 2010 dengan membeli pelampung kapal terbang yang saya rasakan comel dan boleh digunakan untuk bantal peluk dan sebagainya. Malangnya apabila tiba di bilik, jenuh ditiup dan dikembangkan pun, tidak menggelembung juga. Masih tetap menjadi kepingan.

Jadi saya merasakan perlunya ada pam basikal untuk mengepam pelampung sebesar 1 meter, Maka berteriaklah di status YM dan Facebook mencari pam basikal namun akhirnya terkubur jua impian.

Kepingan kapal terbang itu disumbat ke dalam beg kargo untuk dihadiahkan kepada Didi.

Dan beberapa malam lepas, Didi telah pun mengepamnya (tidak tahu kenapa ianya dipam secara tiba-tiba). Maka menyemaklah di ruang tamu kapal terbang A380 Air France ini.

IMG00874-20100703-2152
Jikatetamu datang mungkin aku terpaksa bertempiaran melarikan kapal terbang ini. Kerna aku yang bongsu. Maka akan terjadilah dakwaan seperti “Ish ni mesti Jat punya barang ni..”. Padahal Didi merangkap pensyarah UNIMAP yang mengepamnya.  Apa-apa pun, ia adalah lambang intelektual keluarga ini (banyak la ang…).

Musang

Saya mempunyai seekor musang tidak berkaki di rumah. Terima kasih kepada Didi yang membelinya di carboot Nottingham pada tahun 2003 (saya ada pada masa itu namun rangsangan terhadap musang agak kurang pada masa itu. Saya lebih tertarik kepada mainan kanak-kanak pada waktu itu <— hujah untuk menyangkal musang adalah permainan kanak-kanak). Dan Didi juga membeli patung hedgehog namun tidak terlalu comel walhal hedgehog sebenar sangatlah menggoda.

Dikhabarkan oleh Didi, setelah 9 bulan musang tersebut langsung tidak bergerak dan hanya diletakkan di atas kerusi. Menariknya, kerusi tersebut adalah kerusi ruang tamu. Entah mengapa bagaimana boleh ia kekal di situ dengan gaya tidurnya yang tidak saya sukai.

IMG00873-20100703-2151
Musang yang berada di kerusi ruang tamu. Sebelum aku ke Manchester, beginilah posisinya dan bila pulang, begitu juga lenggoknya. Sememangnya musang ini begitu tegar akan perubahan sekeliling. Atau mungkin dia dipinggirkan kerana sering berdum-dum dan berdap-dap di atas bumbung rumah. Sehingga mengacau tenteram dan meragut sunyi malam.  What a pity.

Musang dan Kapal Terbang

Bayangkan, bersatunya suatu objek yang mahsyur (A380 yang menjadi pesawat mewah darsawarsa ini) dan musang biasa yang sering dicaci dan dihina. (Oh, pernahkah kau mendengar orang memuji musang? Tidak!). Musang disalahertikan. Kerna ia gelap dan tidak berguna malah suka mencuri buah.

Dan banyak juga perumpamaan yang menindas si musang – musang berbulu ayam, as cunning as a fox, seperti musang dan Shahkang (err?). Cerita Dora juga menggambarkan musang sebagai watak jahat.

Oh, kasihan sekali!

IMG00875-20100703-2152
Musang yang melilit pesawat

Dapatkah kau bayang, seekor musang di dalam pesawat berlari mencicit berlaga habis kaki pramugari kain terbelah? Oh tidak. Pastinya ditangkap dan mungkin ditauk ke luar pesawat serta merta. Walaupun pintu tidak boleh dibuka namun dipaksa juga malah mungkin siap menulis surat kepada jawatankuasa kapal terbang supaya dibenarkan pintu dibuka sebentar ketika penerbangan untuk melemparkan musang tersebut keluar pesawat. Asalkan musang dapat disingkirkan daripada pesawat mewah itu, sudah memadai.

Cuba kau bayang, seekor kucing parsi berbulu menyapu lantai itu yang menaiki pesawat.

Pastinya dilayan, dan mungkin ada penumpang meminta (selain meminta makanan), “Bolehkah si Parsi itu berada di ribaanku sepanjang 7 jam perjalanan?”

Sememangnya musang selalu ditindas.

dan begitu juga aku dan kita!

This entry was posted on Friday, July 9th, 2010 at 11:36 am and is filed under Catatan Harian. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply